Pasaraya Queensbay lancar kempen ‘katakan tidak kepada penyedut minuman plastik dan plastik sekali guna’

[ad_1]

GEORGE TOWN, 14 April (Bernama) — Pasaraya Queensbay melancarkan kempen ‘katakan tidak kepada penyedut minuman plastik dan plastik sekali guna’ sebagai menyahut seruan kerajaan negeri dalam usaha menjaga alam sekitar.

Penolong Pengarah Pusat Pasaraya Queensbay, Lee Sue Ling berkata, inisiatif itu merupakan yang ketiga selepas ia dilancarkan di pasaraya Gurney Paragon dan pasaraya Gurney Plaza (di bawah pengurusan yang sama).

“Kempen ini sememangnya mendatangkan kesan yang positif terutamanya kepada alam sekitar, dan pada masa yang sama kita hendak mendidik masyarakat untuk lebih prihatin terhadap penjagaan alam sekitar.

“Disebabkan itu, pihak pengurusan tidak teragak-agak untuk bekerjasama dengan MBPP bagi menjayakan kempen kesedaran ini,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang turut mengedar poster ‘Tak Nak Straw’ kepada pengusaha kedai makan di Medan Selera Queen Hall.

“Usaha ini adalah kesinambungan daripada kempen yang dilancarkan oleh kerajaan malah kerajaan negeri kini dalam usaha untuk memperkasa dan memperluas kesedaran dalam kalangan rakyat betapa pentingnya menjaga alam sekitar,” katanya.

Menurut Yew lagi, MBPP turut mensasarkan golongan belia untuk menggalakkan mereka supaya tidak menggunakan bahan plastik seperti penyedut minuman dan plastik sekali guna yang boleh menjejaskan ekosistem alam.

“Kita sasar di tempat-tempat seperti pasaraya kerana golongan belia banyak berkumpul di tempat sedemikian.

Selain medan selera di pasaraya, MBPP juga bercadang untuk menyebarluas kempen ini sehingga ke hotel, lapangan terbang (Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang), stesyen minyak dan juga restoran di negeri ini,” katanya.

Sejak 1 Januari 2011, Pulau Pinang telah menguatkuasakan dasar ‘Tiada Beg Plastik’ di seluruh negeri itu, bagi mengurangkan kesan karbon.

Dasar menerusi Kempen Tiada Beg Plastik itu turut menggalakkan penduduk Pulau Pinang membawa sendiri beg untuk membawa barangan belian mereka bagi mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan beg plastik.

— BERNAMA

[ad_2]