KOTA KINABALU: Polis mengingatkan pelajar supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di setiap sekolah bagi mengelakkan penularan wabak Covid -19 di sekolah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, 34 Sekolah Kebangsaan (SK) dan 19 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di daerah ini mula dibuka semula untuk sesi persekolahan mengikut norma baharu selepas ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Katanya, pelajar yang memulakan sesi persekolahan diingatkan untuk mematuhi SOP bagi membendung penularan dalam kalangan pelajar di sekolah.
“Sebaik memasuki perkarangan sekolah, pelajar perlulah peka dengan setiap peraturan SOP yang ditetapkan pihak sekolah masing-masing bagi memastikan pelajar berada dalam keadaan selamat setiap masa.
“Selain itu, bagi memastikan pelajar mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan itu, pihaknya menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di setiap sekolah sepertimana yang dilaksanakan sejak 1 Julai lalu,” katanya ketika ditemui pada program ‘Kembali Ke Sekolah’ di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penempatan pegawainya, Habibi berkata, PPS yang ditempatkan di sekolah akan menjalankan rondaan serta pemerhatian setiap hari pada waktu awal dan akhir persekolahan.
“PPS yang berperanan memastikan pelajar mematuhi SOP turut bertanggungjawab untuk memastikan tidak berlaku kesesakan di perkarangan sekolah ketika akhir pembelajaran dan penjagaan jarak sosial tetap terjaga.
“Secara tidak langsung tindakan ini juga memastikan pelajar tidak terbabit dalam aktiviti tidak sihat di kawasan sekolah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, indeks jenayah di daerah ini menurun kepada 35.58 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Bagi tempoh Januari sehingga 14 Julai ini, polis hanya merekodkan 422 kes jenayah berbanding 653 kes yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.
“Antara punca penurunan terhadap kes jenayah ini disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta operasi dan rondaan secara berterusan yang dilaksanakan oleh pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu secara berterusan.
“Penurunan ini juga disebabkan kerjasama berterusan daripada masyarakat yang memainkan peranan penting dalam penugasan polis dengan menyalurkan maklumat penting untuk tindakan pembanterasan,” katanya.-http://beritasabah.com
More Stories
Polis Sabah, SKMM pantau isu sensitif di media sosial
SMJE jual minyak mentah pertama 2025 bernilai RM100 juta
6 kompaun dikeluarkan kepada penjaja ingkar arahan di Pasar KK