PDRM, POLDA Kalimantan Utara jalin kerjasama tangani jenayah rentas sempadan

KOTA KINABALU: Polis Sabah meningkatkan kerjasama dengan Kepolisian Daerah Kalimantan Utara (POLDA KALTARA) untuk menangani isu penyeludupan dan jenayah rentas sempadan antara Malaysia-Indonesia, khususnya antara Sabah dan Kalimantan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan untuk membincangkan berkaitan dengan perkara-perkara yang perlu diketengahkan bagi menangani isu-isu yang berkaitan.

“Jadi, ini adalah satu usaha kita untuk mempastikan bahawa apa juga bentuk jenayah yang wujud membabitkan dua kawasan (Sabah – Kalimantan Utara) ini dapat kita tangani secara maksimum. Ia melalui pertukaran-pertukaran maklumat di antara kedua-dua pihak.

“Oleh itu, kita mengharapkan bahawa dengan kerjasama ini, isu-isu yang timbul selama ini dapat kita tangani secara muklak,” katanya dalam sidang media selepas menerima Kunjungan Hormat Timbal Balas Delegasi Kepala Kepolisian Daerah (KAPOLDA) Kalimantan Utara di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Kunjungan diketuai oleh KAPOLDA Kalimantan Utara, Irjen Pol Hary Sudwijanto bersama rombongan.

Jauteh berkata, mesyuarat khas kedua-dua pihak ini dijangkakan diadakan pada awal Jun depan di negeri ini yang turut membabitkan beberapa pihak bagi memastikan kerjasama erat menangani isu-isu antara kedua-duanya.

“Kita akan menyelaraskan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan bagaimanapun kerjasama ini menangani isu-isu jenayah rentas sempadan terutama membabitkan aktiviti penyeludupan.

“Penyeludupan merangkupi jenayah narkotik, manusia, barang-barang lain yang terlarang. Ia membabitkan sempadan bermula dari Sebatik sehinggalah ke Long Pasia,” katanya.

Mengulas mengenai kunjungan itu, Jauteh berkata, kunjungan itu adalah timbal balas yang telah dibuat Polis Sabah ke POLDA KALTARA, pada Februari lalu di Kalimantan.

“Tujuan adalah ingin mengeratkan silaturahim hubungan muhibah antara dua bahagian kepolisian iaitu daripada pihak KAPOLDA KALTARA dan juga Kontinjen Sabah.

“Alhamdulilah, melalui dua kunjungan yang dibuat secara timbal balas ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim bahkan meningkatkan kerjasama dalam menangani beberapa isu membabitkan dua negara terutama berkaitan penyeludupan,” katanya.

Sementara itu, Hary Sudwijanto berkata kunjungan balas pada hari ini bukan sahaja meningkatkan kerjasama tetapi untik memperkuat kordinasi dan membangun komunikasi dalam menangani permasalahan yang mungkin dan sedang terjadi saat ini di wilayah perbatasan baik di Indonesia mahupun di Malaysia.

“Kami percaya bahawa keamanan itu tidak bisa dibangun sendiri, ia perlu sinergi dan saling percaya serta komitmen bersama dalam menangani isu-isu perbatasan.

“Selepas ini, kami akan susun apa yang menjadi kesepakatan itu dan kami daripada kedua kepolisian berkomitmen untuk menyelesaikan semua permasalahan yang bisa kita lakukan bersama dengan tidak ada saling mencurigai atau saling berburuk sangka. Tapi kita sama-sama untuk menghadapi permasalahan-permasalahan yang ada di perbatasan,” katanya. – Info X