MADIUS SERU PUTRAJAYA SOKONG SABAH

TAWAU: Sabah mahu kerajaan Pusat menyokong usaha negeri ini untuk meningkatkan lagi perdagangan komoditi terutama kelapa sawit, sekali gus memberi pulangan tinggi kepada pekebun kecil.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata perdagangan sawit negeri ini terlalu rendah dengan pekebun kecil tidak menerima pulangan harga sawit yang maksimum.

Jelasnya lagi, Sabah juga sudah bersedia jika pelabuhan Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu dijadikan platform untuk mengangkut minyak sawit.

“Kita mahu lebih ramai rakyat Sabah terlibat secara langsung dalam perdagangan komoditi terutama sekali kelapa sawit.

“Jadi kalau kita dapat laksanakan perdagangan komoditi itu di Lahad Datu, kita lebih daripada sedia,” katanya ketika ditemui pada majlis Kempen Love My Palm Oil di Tect Guan Quoin Hill Village, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Industri Utama, Teresa Kok; Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Wong Sze Phin; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Assafal P Alian dan Pengerusi Eksekutif Teck Guan Group, Datuk Hong Ngit Ming.

Madius berkata, selain mempromosi minyak sawit mentah (CPO), kerajaan juga mahu menumpukan terhadap usaha meningkatkan pengeluaran produk pemprosesan hiliran.

Katanya, ia adalah antara strategi kerajaan dalam menangani kempen serta tohmahan pihak tertentu terhadap minyak sawit dapat diatasi.

“Apabila dalam bentuk produk, sawit tidak nampak lagi, jadi ini yang kita mahu, kita mahu tarik lebih ramai pelabur ke Sabah supaya dapat mengeluarkan hasil,” katanya.