Pelajar Kolej Vokasional Keningau bertanding untuk menangi geran USD2,000

Sekumpulan tiga pelajar dari Kolej Vokasional Keningau di sini berjaya mendapat tempat untuk bertanding di hackathon serantau yang dianjurkan oleh Save Philippine Sea dengan kerjasama beberapa organisasi yang berpusat di negara Filipina.

Pertandingan Haquathon 2.0 diatur secara khusus untuk mencari penyelesaian yang dapat mengatasi masalah yang berkaitan dengan kelestarian pesisir laut dan marin. 

Ketiga-tiga pelajar terbabit, Warren Junior Patin, Andi Fazirah Usman dan Vannie Verus adalah salah satu daripada 13 pasukan yang kini bersaing untuk memenangi geran bernilai USD2,000 yang akan diberikan kepada lima pemenang.

Sebanyak 12 pasukan lain berasal dari Filipina, Indonesia dan Vietnam. Nama-nama projek dan negara asal mereka boleh diakses dari laman web https://www.savephilippineseas.org/haquathon2

Pasukan berkenaan sedang mengikuti program latihan maya yang bermula pada 24 April lepas dan akan berakhir di pusingan akhir di mana setiap pasukan perlu memberikan penyelesaian mereka pada awal bulan Jun.

Projek mereka ‘Mechanical Water Veins’ adalah alat yang dapat menyediakan air secara terus ke tanah yang dikelilingi akar tanaman dengan cara yang paling optimum pada jadual yang ditetapkan.

Peranti berkenaan mengurangkan sisa air kerana ia mengawal jumlah air yang mengalir melalui tiubnya. Ia juga menggunakan semula air buangan dari sinki, pancuran mandian, tab mandi, tandas, mesin basuh, dan mesin pencuci pinggan mangkuk.

Teknik ini dapat diulang dan ditingkatkan sehingga konsep dapat diterapkan secara meluas di kebun atau ladang yang luas.

Tujuan utama mereka adalah untuk menjimatkan penggunaan air terutama di kawasan bandar yang sesuai dengan konsep inovasi yang dikenali sebagai e-STEM (STEM persekitaran).

Pengarah Kolej Vokasional Keningau Johari @ Jaibet Sabin memuji usaha para pelajar dalam mempraktikkan kemahiran mereka dengan mengembangkan projek praktikal yang dapat membantu menangani beberapa masalah persekitaran.

Beliau berharap, lebih banyak pelajar akan meneroka masalah dunia dan merancang penyelesaian untuk mengatasi masalah ini. – Utusan Borneo