Pusher di Telipok Ria kena tangkap dengan rampasan dadah syabu 2,118.84 gram

 Hasrat seorang remaja meraih pendapatan lumayan hasil pengedaran dadah sejak beberapa minggu lalu tidak berpanjangan apabila dia ditahan dalam serbuan di Taman Telipok Ria, di sini, Sabtu lalu.

Tangkapan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontijen Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran berdasarkan maklumat dan hasil risikan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, suspek berusia 19 tahun itu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket untuk mengedar dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil tangkapan itu, polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 2,118.84 gram yang dianggarkan bernilai RM84,824 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Polis turut merampas sebuah kenderaan Toyota Avanza daripada suspek yang turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan jenayah dadah.

“Suspek yang juga warga tempatan ini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang media di IPD Tuaran, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing, suspek didapati positif dadah jenis syabu dan turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Sementara itu, Mohd Hamizi berkata, polis akan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti kumpulan sindiket atau suspek tangkapan dadah lain yang mempunyai kaitan dengan remaja terbabit.

Katanya, polis percaya, suspek juga digunakan sindiket dadah bagi mempengaruhi golongan remaja untuk menagih dadah.

“Siasatan akan diteruskan dalam usaha untuk memutuskan rantaian pengedaran dadah di kawasan Taman Telipok Ria ini” katanya. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *