TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas cuba membawa sebanyak 241 liter minyak diesel dengan mengubah suai tangki minyak lori di sebuah stesen minyak di Jalan Kuhara, di sini, semalam.
Lelaki tempatan berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau ketika sedang leka mengisi minyak di lori berkenaan.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Mohd Nazri Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat risikan mengenai kegiatan itu di daerah ini.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas lori suspek menemukan dua buah tangki tambahan yang telah diubah suai di bahagian belakang lori berkenaan untuk menyimpan minyak diesel.
“Lelaki itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membawa diesel di dalam tangki tambahan.
“Tangkapan dan rampasan itu kemudian di bawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan serta siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori dan minyak diesel berkenaan dianggarkan bernilai RM72,520.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.
“Orang awam dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan sekiranya didapati tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pelaku,” katanya. –Info X
More Stories
KUSKOP salur RM346.28 juta pembiayaan PMKS dan koperasi di Negeri Sembilan pada tahun 2024
Maritim Malaysia tahan dua bot tunda nelayan lakukan aktiviti tarik pukat tunda
Agensi di bawah KUSKOP bantu usahawan terjejas banjir di Sabah, Sarawak