Skandal rasuah Sabah : 18 ADUN dirakam keterangan, kertas siasatan siap hujung bulan ini – SPRM

KOTA KINABALU: Seramai 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah telah dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah perolehan projek mineral di negeri berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan kes itu akan dilengkapkan sebelum akhir Januari, seperti diarahkan Timbalan Pendakwa Raya.

“Siasatan berkaitan kes terbabit sudah selesai dan kami sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

“Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan pegawai penyiasat supaya melengkapkan beberapa keterangan yang perlu disiapkan sebelum akhir bulan ini.

“Saya memberi jaminan, pada bulan Februari, saya sendiri akan maklumkan perkembangan terbaru,” katanya pada sidang media, seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Azam berkata, kertas siasatan pertama dibuka membabitkan pemberi maklumat dan bekas pegawai kerajaan negeri berkenaan, berkaitan Jabatan Mineral.

Katanya, bagi kes dua individu terbabit, siasatan sudah selesai dengan kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“SPRM dan polis turut bertukar maklumat berhubung kes terbabit, difahamkan polis juga sudah menyerahkan kertas siasatan mereka kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Jadi terpulang kepada Jabatan Peguam Negara untuk koordinasi sekiranya ada apa-apa keputusan untuk dituduh (di mahkamah) atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan kedua pula membabitkan lapan rakaman video hasil pendedahan sebuah portal berita dalam talian.

“Hingga sekarang SPRM hanya siasat berdasarkan kepada video yang dikeluarkan dalam portal berkenaan tapi kami tidak dikongsi atau dibekal oleh pihak berkaitan atau pemberi maklumat berkenaan mengenai rakaman berkenaan.

“Jadi kita rakam percakapan dari ADUN dan pihak lain termasuk pemberi maklumat untuk dilengkapkan keterangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama semua pihak supaya memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan.
SPRM melancarkan Op DUN selepas sebuah portal berita menyiarkan beberapa video daripada seorang pemberi maklumat yang mendakwa wujudnya unsur rasuah dalam pengeluaran lesen penerokaan perlombongan.

Pemberi maklumat terbabit, yang merupakan seorang ahli perniagaan, mendakwa dia menyogok beberapa ADUN Sabah untuk mendapatkan lesen tersebut. – Info X