PEMANDU REMPUH SEKATAN POLIS SERAH DIRI

KOTA KINABALU: Pemandu kenderaan Ford Ranger yang merempuh sekatan jalan raya sempena Op Covid-19 di Jalan Lintas – Kolombong, di sini, semalam, menyerah diri, pagi tadi.

Suspek lelaki berusia 28 tahun menyedar diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut selepas didapati terbabit melanggar sekatan jalan raya di Jalan Kolombong – Lintas, semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek bertindak merempuh sekatan jalan raya itu kerana tidak memiliki lesen memandu yang sah.

“Malah suspek keluar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 11(1) Peraturan – Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.2) 2020.

Sementara itu, mengenai pemilik asal kenderaan yang sebelum ini diminta tampil membantu siasatan, Habibi berkata, pemilik asal kenderaan itu sudah tampil membuat laporan polis di IPD Keningau yang menyatakan kenderaan milik itu sudah dijual kepada suspek.

“Pemilik asal kenderaan itu sudah dijual kepada suspek namun proses pertukaran hak milik masih belum dibuat.

“Oleh itu, orang ramai yang membuat sebarang urusan jual beli kenderaan supaya membuat pertukaran hak milik mengikut peraturan yang ditetapkan bagi mengelak masalah pada masa depan,” katanya.

Dalam kejadian jam 9.35 malam, Jumaat lalu, sepasukan anggota keselamatan terdiri daripada Polis, ATM dan Rela yang sedang menjalankan sekatan jalan raya Op Covid-19 di Jalan Lintas – Kolombong nyaris dirempuh kenderaan For Ranger yang melanggar sekatan berkenaan.

Kenderaan itu kemudian memecut laju mengalah ke arah Inanam sebelum meloloskan diri.

Akibat kejadian itu, peralatan sekatan jalan raya seperti lampu biru dan papan tanda polis rosak manakala semua pasukan keselamatan tidak mengalami sebarang kecederaan./BERITA SABAH