Pemansuhan hukuman mati mandatori merupakan satu kemenangan masyarakat sivil

Oleh: Cj

KOTA KINABALU, 11 Jun – Semalam merupakan satu kemenangan kepada masyarakat sivil yang menolak hukuman mati apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan hukuman mati mandatori dimansuhkan.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, pengumuman itu merupakan kejayaan dasar Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang membuka langkah ke arah mengkaji hukuman mati mandatori.

“Pemansuhan hukuman mati mandatori dicadangkan oleh masyarakat sivil

“Pakatan menerima pakai agenda reformasi ini dalam Manifesto (pilihan raya) 2013 dan 2018,” katanya.

Tambah beliau, mantan Menteri Undang-undang PH, Liew Vui Keong sebelum ini berusaha keras untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan telah membuka jalan ke arah kajian penuh mengenai keperluan penilaian semula hukuman tersebut.

“Allahyarham Menteri Undang-undang PH @VKLiew185 mendesak reformasi ini tanpa henti

“Kini kami akhirnya mempunyai konsensus bi-partisan mengenai pembaharuan undang-undang yang penting ini,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut Wan Junaidi, keputusan hukuman mati mandatori digantikan dengan hukuman lain tertaluk kepada budi bicara mahkamah telah dicapai selepas beliau membentangkan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam mesyuarat Kabinet Rabu lalu.

“Jemaah menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah,” katanya.

Pemansuhan itu mendapat reaksi positif dari Jaringan Asia bagi Anti Hukuman Mati (Adpan).

Menurut mereka hukuman mati mandatori tidak menjanjikan keadilan kerana menafikan budi bicara hakim menjatuhkan hukuman berdasarkan keadaan setiap pesalah secara individu.

Pertubuhan sivil itu memberi contoh kes Hairun Jalmani, ibu tunggal yang dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar dadah di Tawau, dan Mainthan Arumugam yang menunggu hukuman mati kerana pembunuhan yang tidak berlaku.

Sehubungan itu, dengan memansuhkan perkataan ‘mandatori’ maka hakim boleh menjatuhkan hukuman pilihan yang bukannya hukuman mati.