UPKO terus main peranan pastikan hak dan kepentingan Sabah terbela

Oleh: Cj

SEPANGGAR, 13 Jun – Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan terus memainkan peranan bagi memastikan hak-hak dan kepentingan wilayah Sabah terbela.

Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau memikirkan mengenai kemajuan ekonomi Sabah selepas melihat keluhan rakyat sabah mengenai kedudukan rakyat sabah dan negeri Sabah dari segi ekonomi, kadar kemiskinan dan sebagainya.

“Kita haruslah memberanikan diri untuk mengutarakan suara agar negeri kita tidak terus-menerus dibelenggu dengan kadar kemiskinan yang tinggi serta kenaikan harga barangan.

“Mengenai kenaikan harga barangan, rakyat perlulah mendapatkan resit untuk membandingkan syarikat mana yang mempunyai harga barangan yang lebih murah,” katanya.

Selain itu, beliau juga akan mengusulkan di Parlimen berkaitan dengan pemindahan masa (retime) penerbangan.

“Penerbangan saya ditukar masa dua kali, dari pukul 8 malam akhirnya dapat pukul 12.30 malam. Ini bukan sahaja menyusahkan diri sendiri, malahan orang lain.

“Saya akan mengusulkan perkara ini di parlimen supaya parlimen dapat mewujudkan undang-undang yang boleh mengenakan tindakan kepada penerbangan sekiranya mereka memindahkan masa sesuka hati tanpa memberikan alasan,” tambahnya.

Bukan itu sahaja, beliau turut mempersoalkan berkaitan dengan perumahan yang telah diberikan kepada rakyat (layak) daripada pihak kerajaan.

“Baru-baru ini, ada seseorang yang memberitahu saya bahawa orang itu mendapat satu blok perumahan yang diberikan oleh pihak kerajaan. Orang itu telah menandatangani perjanjian dan telah diluluskan.

“Pinjaman sudah dipotong namun sehingga hari ini tidak sampai 10 peratus siap. Dalam perjanjian, siap 90 peratus dahulu baru mula dipotong tetapi ini sudah mula dipotong.

“Bagaimanakah satu blok perumahan ini boleh dijual dan pihak bank meluluskan pinjaman kepada sebuah pemaju yang tidak mempunyai lesen pemaju,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar negeri Sabah dapat keluar daripada kemelut tersebut.

“Keadaan ini berlaku bukan disebabkan kerajaan sahaja, tetapi kita harus bertanya kepada diri kita sendiri kerana yang memilih sesebuah kerajaan untuk memerintah itu adalah diri kita. Walaupun kita mengamalkan demokrasi, kita juga perlukan maklumat yang betul untuk melaksanakannya,” tambahnya.