RANAU: Proses pengalihan bagi dua menara talian penghantaran bekalan tenaga elektrik 275 kilovolt (kV) kepada menara pengalihan sementara (ERS) Kampung Randagong dan Kampung Nabutan, Ranau kini 95 peratus siap.
Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, sekiranya segala kerja-kerja berjalan seperti yang dirancang, proses pengalihan dijangka siap sepenuhnya dalam minggu ini.
“Usaha ini merupakan hasil kerjasama semua pihak termasuk tindak balas pantas bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memastikan segala kerja-kerja dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama pihak Kerajaan Negeri Sabah dan perkhidmatan pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang telah menerbangkan lima kontena Menara ERS dari Selangor ke Sabah,” katanya.
Madius berkata demikian ketika turun padang membuat tinjauan perkembangan terkini kerja-kerja pengalihan di tapak menara Kg. Randagong, Ranau pada Sabtu.
Menurutnya, petugas SESB yang berada di lapangan bertungkus-lumus tanpa mengira cuaca panas ataupun hujan.
“Saya melihat ini sesuatu cukup mencabar apatah lagi dengan keadaan cuaca matahari terik. Bayangkanlah bagaimana mereka perlu berada di tapak sepanjang hari.
“Malah ada dalam kalangan staf yang berpuasa turut kekal memberikan komitmen tinggi dalam kerja-kerja pembaikan ini,” katanya.
Untuk rekod, SESB dalam suatu kenyataan sebelum ini memaklumkan berlaku pembengkokan dan tiang sokongan yang terputus pada menara talian tersebut akibat mendapan serta pergerakan tanah yang aktif.
Sehubungan itu, kerja-kerja kecemasan pengalihan menara sedia ada kepada menara ERS dilaksanakan bagi mengelakkan risiko satu-satunya talian penghantaran 275kV Kolopis – Segaliud itu terputus.
Talian membekalkan sekitar 200 megawatt (MW) tenaga elektrik dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah pada setiap hari.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ