Pemberian dos penggalak tidak akan dilanjutkan selepas 31 Mac – Khairy

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR, 2 MAC – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan bahawa tempoh pemberian dos penggalak kepada penerima vaksin Sinovac tidak akan dilanjutkan selepas 31 Mac ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sekiranya golongan itu (penerima vaksin Sinovac) enggan menerima dos penggalak selepas tarikh yang ditetapkan, status vaksinasi mereka akan bertukar kepada tidak lengkap.

“Tempoh yang diberikan tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melainkan memberi masa kepada mereka mengambil dos penggalak dalam tempoh yang sudah ditetapkan.

“Tempoh lanjutan ini adalah terakhir dan muktamad.

“Jika mereka tidak dapatkan dos penggalak sehingga tarikh akhir ini, maka status adalah tidak lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

KKM sebelum ini telah menetapkan tempoh akhir bagi penerima vaksin Sinovac untuk mendapatkan dos penggalak adalah sehingga 28 Februari lalu, namun telah dilanjutkan ke 31 Mac ini.