Pemimpin UPKO hargai peruntukan khas RM100,000

Pemimpin Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyambut baik pengumuman Ketua Menteri bagi memberi peruntukan khas RM100,000 bagi setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang.

Ini satu permulaan yang baik  mengagihkan dana pembangunan kawasan (CDF).

Presiden UPKO merangkap Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Mojuntin dan ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick melahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Panglima Hajiji Noor atas usahanya melakukan perubahan sebegitu.

Dalam pengumuman Hajiji semalam, beliau meluluskan peruntukan khas sejumlah RM3.1 juta untuk diagihkan kepada 31 ADUN pembangkang melalui Pejabat Daerah masing-masing.

Pemimpin UPKO melihat usaha sebegitu tidak pernah dilakukan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah.

Bagaimanapun, UPKO berpendapat, perubahan sebegitu perlu diperluaskan.

“Kami melihat Hajiji akan diingati dalam sejarah Sabah sekiranya kerajaan dibawah pimpinannya dapat memastikan pengagihan CDF diberikan kepada semua ADUN dan Ahli Parlimen tanpa mengira apa juga parti mereka,” katanya mereka dalam satu kenyataan bersama, semalam.

Pemimpin UPKO ini berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seharusnya lebih reformis berbanding pemerintah terdahulu.

Ketika ini kerajaan Sabah memberi peruntukan tahunan RM2.1juta kepada menteri dan RM1.14juta kepada pembantu menteri dan RM1.1 juta kepada penyokong kerajaan.

Malah, kerajaan juga menyediakan peruntukan RM10,000 kepada Ahli Parlimen bagi menguruskan pusat khidmat parlimen mereka. Namun peruntukan itu disalurkan melalui ketua bahagian Bersatu untuk 14 kawasan dibawah kerusi pembangkang di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Seharusnya peruntukan RM10,000 itu disalurkan secara terus kepada pejabat parlimen tanpa mengira apa juga parti mereka.

Pemberian peruntukan RM1.68 juta kepada 13 kawasan dibawah parti kerajaan juga harus dihentikan.

UPKO akan menyokong perubahan yang dilakukan di peringkat negeri dan persekutuan ini bukan hanya dibawah kerajaan sekarang tetapi juga, gabungan parti politik yang mendapat mandat daripada rakyat untuk membentuk kerajaan pada masa akan datang. – Borneo Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *