Pemuda UPKO Penampang calonkan Felix Joseph Saang sebagai Ketua Pemuda UPKO Pusat

KOTA KINABALU, 2 Jun — Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang mencapai persetujuan mencalonkan Felix Saang sebagai Ketua Pemuda UPKO peringkat Pusat dalam mesyuarat pertama mereka hari ini.

Menurut Ketua Pemuda UPKO Penampang, Billy Joe Dominic, pihak mereka masih menaruh keyakinan tinggi terhadap Felix dan percaya bahawa beliau masih mampu menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda. 

“Felix merupakan antara pemimpin muda UPKO yang berkaliber dan mampu memimpin Sabah pada suatu hari nanti.

“Keputusan ini juga diambil setelah mengambil kira rekod kecemerlangan Felix dalam memimpin Pemuda UPKO sebelum ini,” jelas Billy.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Billy sempat menyatakan hasratnya ingin mendekatkan parti UPKO kepada akar umbi menerusi aktiviti-aktiviti yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Pemuda UPKO Penampang akan mengadakan aktiviti seperti Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah, Gusti Lengan dan juga Program Derma Darah dalam masa terdekat ini.

“Aktiviti yang dirancang ini memberikan kami peluang untuk mendengar permasalahan rakyat di peringkat akar umbi,” jelasnya lagi.