UPKO Bahagian Pensiangan terus beri sokongan penuh kepada kepimpinan UPKO dan PH

Oleh: Jason

KOTA KINABALU, 2 Jun – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Pensiangan akan terus menyokong penuh kepimpinan parti itu dan Pakatan Harapan (PH) untuk memperjuangkan nasib rakyat.

Naib Ketua Bahagian UPKO P.182 Pensiangan, Albert Aguir berkata, pihaknya dan penduduk di kawasan tersebut menyambut baik segala usaha dan perjuangan UPKO dan PH selama ini dan akan terus menaruh kepercayaan terhadap parti tersebut.

“Kami di sini akan terus memberi sokongan kepada UPKO terutamanya kepada Datuk Seri Panglima Madius Tangau.

“Selain itu, kami juga menyokong UPKO dan PH membawa kes tuntutan 40 peratus hak Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita tahu ramai pemimpin yang hanya berani bersuara tetapi tiada sebarang tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Berita Sabah, pada program perasmian mesyuarat agung tri tahunan UPKO bahagian Pensiangan baru-baru ini.

Albert yang juga Ketua Cawangan Kampung Fontas Nabawan turut memaklumkan bahawa beliau komited melaksanakan tanggungjawab dalam mengangkat suara UPKO selaku sebuah parti “Peneraju Perjuangan Rakyat”.

Ujarnya, tumpuan adalah di kawasan Nabawan, Sapulut dan Pagalungan yang hingga kini belum mengalami pembangunan memberangsangkan berbanding kawasan lain di Pensiangan.

“Pertamanya, saya mahu memberi kesedaran tentang pentingnya meningkatkan taraf pendidikan. Boleh saya katakan di kawasan ini masih ramai penduduk yang taraf pendidikannya masih rendah sehingga menyebabkan mereka mudah dipermainkan atau dibutakan oleh parti politik tidak bertanggungjawab.

“Selain itu saya juga akan bersuara terutama dalam mengangkat masalah kemudahan infrastruktur di kawasan ini yang masih ketinggalan.

“Masalah seperti jalan-jalan perhubungan dan sebagainya menyukarkan orang kampung terutamanya untuk membawa hasil tanaman ke pekan untuk dipasarkan.

“Bukan itu sahaja, kadang-kadang ada orang sakit yang tidak sempat dikejarkan ke hospital sudah menghembus nafas terakhir kerana tiada kemudahan infrastruktur yang baik,” tambah Albert.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa isu berkaitan tanah dan kestabilan ekonomi di kawasan tersebut juga perlu dititikberatkan.

“Banyak pemilikan tanah penduduk di Pensiangan masih dalam status permohonan dan belum diukur, begitu juga dengan penduduk skim perancangan Nabawan masih ramai penduduk hanya memegang geran tawaran.

“Taraf hidup dan ekonomi di kawasan tersebut juga perlu ditingkatkan dengan menggalakkan penanaman kelapa sawit, getah dan buah yang ada nilai komersial.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menjadi suara rakyat agar masalah yang dihadapi ini mendapat perhatian dan penyelesaian,” jelasnya.