Pemuda UPKO selar pelaksanaan ‘Total Lockdown’ yang lemah dan tidak konsisten

Ketua Pemuda Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang hari ini menyelar tindakan kerajaan pemerintah yang tidak konsisten dan lemah dalam membuat keputusan bagi menangani penularan Covid-19 di negara ini.

Menurutnya, rakyat sudah muak dengan keputusan yang tidak menentu dan mengelirukan termasuk pelaksanaan Total Lockdown yang umpama indah khabar dari rupa.

“Kalau dikatakan Total Lockdown sepatutnya pelaksanaan secara menyeluruh dan bukan separuh-separuh, namun apa yang berlaku kita dimaklumkan bahawa masih ada 128,150 syarikat dibenarkan beroperasi.

“Adakah kerajaan masih belum belajar dari pengalaman sebelum ini? Dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta pelbagai lagi jenis PKP.

“Malah Darurat pun sudah dibuat. Sepatutnya kes semakin menurun, tetapi kita melihat 8,209 kes positif baharu dilaporkan semalam. Jumlah kematian juga semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Felix juga mempersoalkan statistik yang dilaporkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) baru-baru ini yang menyaksikan pergerakan penumpang yang tidak masuk akal ketika pelaksanaan darurat.

“Menurut laporan itu, pada bulan April seramai 548,000 penumpang antarabangsa datang ke Malaysia dan 1.4 juta adalah penumpang tempatan.

“Ini bermakna dalam bulan itu sahaja, sejumlah hampir dua juta penumpang telah direkodkan dalam keseluruhan rangkaian lapangan terbang MAHB. Ini belum termasuk pada bulan-bulan lain yang kita tidak ketahui.

“Rakyat dan kita semua tertanya-tanya. Apakah maknanya darurat? Apakah motif sebenar Kerajaan hari ini? Selain itu, hampir kesemua pusat membeli belah, pusat hiburan, pusat perjudian, pusat riadah, pusat sukan dan tempat-tempat awam telah dibuka waktu darurat. Bagi saya ini merupakan satu tanda kegagalan yang memalukan,” katanya.

Felix yang juga Ketua Bahagian UPKO Beluran berkata, kegagalan kerajaan yang diterajui Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Bumi DiBawah Bayu diserlahkan melalui ketidaktetapan dalam penggubalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang membingungkan.

“Sekejap boleh buat ini, sekejap tak boleh. Selang dua hari berubah lagi. Bukan sekali dua, tetapi berulang-ulang. Sama macam sekarang yang kononnya Total Lockdown. Tetapi hakikatnya 1.57 juta orang dibenarkan bekerja, belum mengambil kira pergerakan orang ramai.

“Sebagai contoh, pada asalnya kelulusan rentas daerah mestilah bersurat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Tiba-tiba diubah lagi dan kini surat kebenaran perjalanan lain (bukan melalui MITI) pun juga diterima.

“Ia juga seolah-olah memperlihatkan segala keputusan dibuat hanya ala kadar. Tiada penelitian yang rinci. Mana boleh, ini soal rakyat, ini soal masa depan negara.

“Sepatutnya segala keputusan dibuat selepas mengambilkira pelbagai aspek mengikut apa yang telah diumumkan. Kalau nak buat Total Lockdown, buatlah secara serius. Kalau Darurat buatlah macam Darurat,” tegas Felix.

Sehubungan itu, beliau menggesa pucuk pimpinan pemerintah untuk bertanggungjawab dan mengakui segala kegagalan, dan bukannya meletakkan kesalahan kepada rakyat semata-mata.

“Tidak dinafikan terdapat rakyat yang lalai dan gagal mematuhi SOP. Namun, meletakkan kesalahan pada rakyat semata-mata sesuatu yang tidak betul. Kerajaan pemerintah harus bertanggungawab kerana gagal untuk membendung dan mengawal penularan Covid-19,” ujarnya.

Sementara itu, Felix juga meminta agar kerajaan dapat menyegerakan proses vaksinasi yang kini masih pada tahap yang rendah.

“Ini juga merupakan sebuah lagi kepincangan kerajaan pemerintah yang cukup serius. Impaknya kita terpaksa menyaksikan peningkatan angka kematian yang menakutkan akibat Covid-19.

“Tolong selesaikan masalah ini. Percepatkan proses vaksinasi. Peruntukan RM5 Bilion yang diambil dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tanpa melalui Parlimen itu sepatutnya mencukupi untuk melancarkan pemberian vaksin.

“Saya tahu dan memahami akan cabaran yang dihadapi. Dan sebenarnya bukan masanya untuk saling menuding jari dan mempersalahkan. Tetapi kita tidak boleh berdiam diri, rakyat semakin menderita dan tertekan akibat kesilapan dan kegagalan yang dibuat kerajaan selama ini,” katanya.