Oleh: Cyn J.
PETALING JAYA, 23 April – Lebih kurang 8,000 nama yang gagal menjalani proses verifikasi selepas proses pendaftaran Pengundi Atas Talian (PAT) tamat pada 21 April lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Dr Zaliha Mustafa, pihak mereka memberi masa kepada para anggota untuk memperbetulkan kesalahan mereka sehingga Hari Raya Aidilfitri ini.
“PAT ada 8,000 nama dan kita akan tangani satu per satu. Saya katakan kepada pasukan saya bila mereka masuk PAT maknanya mereka ada kehendak untuk bersama PAT.
“Kita kena beri peluang kepada mereka. Reject ini ada kaitan gambar profail, ada yang ambil gambar berdua dengan isteri, sedangkan profail gambar seorang. Ada gambar IC tak jelas, nombor akhir tak nampak.
“Ketiga selfie. Ambil gambar ini perlu jelas dengan IC, mungkin faktor cahaya (silau) maka berlaku reject,” katanya.
Sementara itu, pengundi yang tidak sempat mendaftar melalui aplikasi ADIL haruslah mengundi secara fizikal sepertimana yang berlaku pada pemilihan lalu.
“Untuk pengundian fizikal, tidak perlu dibuat sebarang pendaftaran melalui aplikasi dan anggota boleh hadir ke pusat pengundian di setiap cabang.
“Kita sediakan disetiap cabang, walaupun cabang yang tidak ada pertandingan kerana mereka perlu memilih calon peringkat nasional,” katanya.
Bagi senarai calon-calon pula, anggota boleh memeriksanya di laman web: Pemilihan 2022 di https://pemilihankeadilan2022.com/
“Senarai calon-calon telah kita pamerkan dalam website, semua boleh tengok nama-nama.
“Presiden tak ada pertandingan. Timbalan Presiden dua (2) nama, iaitu Rafizi dan Datuk Seri Saifuddin.
“Naib 17, asalnya 18 dan seorang tarik diri. Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) ada 2. Ketua Wanita ada 2. Timbalan AMK 2 dan Timbalan Wanita ada 3.
“Setakat ini yang batal pencalonan hanya di peringkat cabang. 8 orang melalui proses bantahan. Mereka ada status muflis, ada senarai hitam dari Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, beliau turut memberi jaminan pasukannya bersedia menghadapi sekiranya berlakunya masalah teknikal dan mengharapkan proses undi atas talian yang pertama kali dilaksanakan itu berjalan lancar.
“Kita risau juga bila berkaitan teknologi maklumat. Namun inshaAllah kita telah menyediakan diri. Kita akan buat pemilihan percubaan dalam beberapa hari lagi. Kita tengok sistem itu apa yang mungkin berlaku pada hari tersebut.
“Kita tengok simulasi dan apa apa berlaku kita akan cepat ambil tindakan. Kita kena bersedia apa sahaja kemungkinan,” katanya.
Selepas berakhirnya proses pengundian jawatan utama parti, proses pemilihan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan berlangsung.
Untuk itu, kata Dr Zaliha, pencalonan akan dibuka pada hujung Mei dan pendaftaran calon akan berlaku sebagaimana proses pencalonan sebelum ini.
“Pencalonan MPP kita akan buat pada 28 Mei, lepas raya. Maknanya kita melalui proses yang sama semula. Selepas pencalonan bantahan, rayuan. Pencalonan sehari sahaja. Mereka akan buat atas talian dan juga secara fizikal di ibu pejabat KEADILAN.
“Senarai kemudiannya kita akan bawa ke kongres untuk dipilih oleh perwakilan,” tambahnya lagi.

More Stories
Calon UPKO Norfadzlina Ramsah terbaik wakil rakyat baharu DUN Labuk
Tanjung Aru Voters at the Heart of Dennison Indang’s Vision for Change
A strategic discussion in Malaysia’s Sabah