SANDAKAN: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dilanjutkan sehingga 6 Mac depan kerana masih wujud ancaman penculikan, pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.
Perintah berkurung yang memasuki fasa baharu itu bermula jam 6 petang Jumaat ini sehingga 6 petang 6 Mac.
Ia merangkumi daerah Sandakan dan Beluran; Kinabatangan; Lahad Datu; Kunak; Semporna dan Tawau.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata keperluan untuk meneruskan perintah berkurung di laut adalah untuk memastikan kawasan perairan berkenaan tidak dicerobohi oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong dari luar negara yang melawat pulau peranginan dari penculikan.
Berdasarkan maklumat, katanya, kumpulan pengganas dari selatan Filipina yang menjalankan kegiatan culik untuk tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan.
“Ini juga untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan yang berada di daratan di kawasan ESSZONE.
“Pelaksanaan perintah berkurung memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakkan bot, serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan aktiviti perikanan dengan ‘omnipresence’ kapal pasukan keselamatan,” katanya.
Zaini berkata, ketua polis daerah di kawasan ESSZONE diberi kuasa untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ