Penduduk Balung Kokos Tawau akan hantar memorandum kepada PM hentikan kegiatan perlombongan emas haram sebuah syarikat di Bukit Mantri

TAWAU : Pusat Komuniti Kampung Balung Kokos akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar aktiviti perlombongan emas haram milik syarikat Bahvest Resources di Tawau di Bukit Mantri Tawau dapat diberhentikan sementara menunggu kelulusan lesen yang sah.

Wakil penduduknya, Kelana Benza berkata, ketika ini syarikat tersebut beroperasi secara haram tanpa mempunyai kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) serta kelulusan Operational Mining Scheme (OMS) daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Katanya, kenyataan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) semalam bertentangan dengan keadaan sebenar memandangkan lesen melombong milik syarikat ini telah ditamatkan oleh JMG.

“Kalaulah lombong tersebut sah disisi undang-undang, Pengarah JTU atau syarikat terbabit perlu tunjukkan kepada penduduk kampung Lesen OMS, Pelan Kelulusan ESCP dari Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan Perjanjian Syarat-Syarat Alam Sekitar dan Perisytiharan Pengurangan bagi memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara.

“Saya cabar pengarah JTU dan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Sabah untuk menunjukkan dokumen rasmi kerajaan, bahawa lombong haram tersebut memiliki lesen yang sah untuk membolehkan mereka meneruskan operasi perlombongan seperti biasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelana berkata, tindakan untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri kemungkinan besar aktiviti perlombongan ini dapat diberhentikan sementara waktu.

“Selama ini kilang tersebut masih beroperasi, apabila penguatkuasa gagal mengambil tindakan kepada mereka.

“Setakat ini seolah-olah kegiatan ini kebal daripada tindakan undang-undang walaupun tidak memiliki kebenaran EIA daripada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, OMS daripada JMG.

“Kami (Penduduk Kampung) akan akur menyokong operasi perlombongan emas ini sekiranya kilang terbabit mematuhi kelulusan serta kebenaran lesen melombong daripada agensi terbabit,” jelas Kelana.

Menurutnya lagi, sekiranya tiada lesen yang sah,  janganlah memperbodohkan penduduk kampung, mereka perlu buktikan dengan surat rasmi kelulusan bukan hanya membuat kenyataan rasmi melalui akhbar.

“Pihak yang berwajib perlu membuat surat rasmi kerajaan yang menyatakan lombong tersebut sah walaupun tiada EIA OMS ESCP dan bukannya melalui kenyataan akhbar.

“JTU sebagai lead agency dalam mining scheme di Sabah wajib mengambilkira keperluan undang-undang agensi di bawahnya. Contohnya, hanya Jabatan Mineral yang boleh mengeluarkan lesen OMS dan bukannya JTU begitu juga dengan EIA dan ESCP,”