TUARAN: Ketua-ketua kampung dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Mengkabong diminta untuk bersama-sama menjayakan penyukatan sempadan lapan perkampungan di sini.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, ia bagi memudahkan proses penggazetan kampung yang kini memasuki fasa-fasa akhir.
“Kita akan akan memasukkan perkara ini dalam mesyuarat “Land Utilisation Committee (LUC)” dalam minggu ini atau minggu hadapan agar ia dapat dipercepatkan.
“Cuma kita berharap, semua ketua kampung dan MPKK dapat memaklumkan kepada anak buah masing-masing berjalan lancar dan tidak mendapat bantahan daripada mana-mana pihak,” katanya.
Madius berkata demikian ketika sesi santai dan ramah mesra bersama pemimpin kampung di Mengkabong di sini, kelmarin.
Menurutnya, banyak manfaat boleh diperoleh sekiranya semua kampung ini telah digazetkan.
“Sebagai contoh, sekiranya ada penghuni yang ingin menggunakan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan membaiki rumah, permohonan mereka boleh diluluskan dengan mudah.
“Demikian juga tentang bantuan-bantuan daripada kerajaan yang boleh diagihkan secara berfokus mengikut kampung-kampung,” kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu lagi.
Lapan kampung yang bakal digazetkan di Mengkabong termasuklah kampung Gerinsing, Pensurun Tengah, Pensurun Besar, Suang Kerumahan, Buansa, kampung Layan/Separuk, Tembiluk dan kampung Mempelam.
Sementara itu penduduk yang ditemui berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan Madius.
Madly Madiki, 63, berkata selama ini penduduk Mengkabong mengharapkan yang terbaik dari wakil-wakil rakyat, namun tidak ada seorang pun yang datang turun padang.

“Namun hari ini, kita melihat Datuk Seri Madius datang dan melihat sendiri permasalahan yang kita hadapi.
“Inilah wakil rakyat yang kita mau iaitu sebagai pembela dan penyelesai terhadap masalah yang dihadapi rakyat,” katanya sambil memaklumkan ramai penduduk kampung sedia tahu tentang kekangan politik yang dihadapi Ahli Parlimen itu sebelum ini.
Seorang lagi penduduk yang ditemui Mohd Shazwan Elmey, 38, memaklumkan bahawa kehadiran Datuk Seri Madius adalah sinar baru untuk rakyat di Mengkabong.

“Datuk Seri adalah seorang yang berjiwa rakyat dan sentiasa turun padang untuk melihat masalah rakyat yang kemudiannya mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Mungkin ada yang mengatakan ini adalah kempen, tapi sebenarnya tidak. Selama ini saya selaku warga Tuaran sentiasa mengikuti perkembangan beliau dan sememangnya setiap minggu dia meluangkan banyak masa mendengar keluhan rakyat di kawasan ini,” jelas anak jati tempatan berketurunan Bajau Sama itu lagi.
Pada acara itu, Madius turut menerima kemasukan 230 keahlian baru dalam parti UPKO.

Keahlian itu diterima daripada cawangan UPKO Kampung Gerinsing, Pensurun 1, Raganan laut, Pensurun Tengah dan Cawangan Kampung Ongor-ongor di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Nongkolud.-http://beritasabah.com
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan