SISTEM PENGURUSAN SAMPAH AKAN DITAMBAH BAIK DI MENGKABONG

TUARAN: Sekurang-kurangnya dua bekas tong sampah besar akan disediakan untuk pengurusan sampah secara teratur di Mengkabong Tuaran.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, untuk tujuan ini beliau akan menggunakan peruntukan sendiri bagi memastikan penduduk di sini tidak terdedah dengan masalah kesihatan akibat pengurusan sampah kurang teratur.

“Kemudian saya akan meminta Majlis Daerah Tuaran untuk datang secara berkala untuk mengutip sampah dari tong-tong yang disediakan,” kata Madius ketika ditemui selepas membuat tinjauan di sini kelmarin.

Tinjauan itu turut disertai ketua-ketua kampung dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mengkabong.

Madius juga mencadangkan kepada para penduduk untuk membudayakan amalan kitar semula.

“Kita boleh kategorikan sampah-sampah yang boleh dikitar semula dan selepas itu kita boleh memanggil syarikat tertentu untuk membeli bahan-bahan ini.

“Akhirnya duit itu nanti boleh digunakan sebagai tabung kampung untuk sebarang aktiviti yang memanfaatkan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu Madius juga mengambil maklum tentang sistem perparitan di Mengkabong yang perlu dinaiktaraf.

“Berdasarkan tinjauan ini, saya melihat banyak kawasan air bertangkung kerana sistem perparitan yang tidak berfungsi dengan baik.

“Ini sesuatu petanda yang kurang baik dan boleh membawa ancaman penyakit malaria dan denggi melalui pembiakan nyamuk Aedes dan sebagainya.

“Untuk itu kita juga akan membawa perkara ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mendapatkan nasihat dan sebagainya,” ujar Presiden Perfubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) itu lagi.

Untuk rekod, Penempatan Perumahan Mengkabong merupakan antara lokasi yang tidak dapat dikunjungi Ahli Parlimen Tuaran sebelum ini atas kekangan politik dari pihak tertentu.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *