PENDUDUK PULAU GAYA JALANI SARINGAN COVID-19

KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Christina Rundi berkata sebanyak 65.6 peratus penduduk di Pulau Gaya, dekat sini, telah menjalani saringan Covid-19 yang dijalankan selama tiga hari sehingga semalam.

Beliau berkata sepanjang pemeriksaan itu sebanyak 1,600 sampel darah turut diambil.

“Aktiviti itu dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu, dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan RELA,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Kerajaan Sabah sebelum ini mengeluarkan arahan agar menghentikan serta-merta pergerakan keluar masuk penduduk dari Pulau Gaya ke Kota Kinabalu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sebagai usaha membendung penularan wabah pandemik berkenaan.

Sementara itu, Christina berkata pihaknya akan terus berusaha meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang Covid-19 menerusi 13 Unit Bergerak Promosi Kesihatan yang akan melakukan hebahan awam setiap hari di seluruh negeri.

“Selain itu, orang awam turut dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat sahih berkaitan Covid-19 menerusi laman Facebook Unit Promosi Kesihatan Negeri Sabah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Telegram CPRC KKM,” tambahnya.

Christina berkata setakat ini 6,538 orang diletakkan di bawah kuarantin di rumah dan daripada jumlah itu, seramai 5,567 masih dalam pengawasan dan pemerhatian, manakala selebihnya telah tamat tempoh kuarantin selama 14 hari./BERITA SABAH