TELUPID, 21 Jun – Diabaikan dan tidak dipedulikan, itu antara luahan penduduk Kampung Sugut, Paitan terhadap wakil rakyat di sini.
Menurut seorang penduduk, Lias Siah, banyak permintaan yang telah dipohon untuk tujuan pembangunan di kampung itu namun tidak dihiraukan.
“Kita telah memohon pembangunan jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik dan pengangkutan air namun permintaan ini tidak mendapat reaksi daripada wakil rakyat.
“Kami minta untuk adanya jalan raya dan pengangkutan air seperti bot supaya anak-anak kami dapat ke sekolah tetapi tidak ada satupun kelulusan terhadap permohonan kami,” ujarnya ketika ditemui media di sini.
Lias merupakan antara 500 penduduk yang menghantar borang keahlian kemasukan ke Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) baru-baru ini.
Menurut beliau, penduduk Kampung Sugut turut diberikan ‘janji palsu’ berhubung kelulusan geran tanah. “Saya di sini sudah beranak cucu, tetapi masih belum ada geran tanah.
“Sudah beberapa kali kami dijanjikan untuk diberikan geran tanah namun sampai sekarang pengeluaran geran tanah masih belum ada.
“Jadi kira kami ini masih belum mempunyai kedudukan dan penempatan yang sah,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar calon-calon yang bertanding dalam Parti UPKO pada pilihan raya kan datang dapat memenangi kerusi sekali gus membantu rakyat tempatan yang menghadapi pelbagai kesukaran di kampung berkenaan.
More Stories
Tindakan Pantas Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran Pulihkan Jalan Bayaon Kiulu
Madius Meriahkan Hari Komuniti Sempena Hari Malaysia Taman Sri Rugading 2024
Pusat Khidmat Parlimen Tuaran, JAS serta pelbagai institusi dan agensi jayakan Sambutan Hari Pembersihan Sedunia