SANDAKAN: Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila bersedia menggunakan pengalamannya sebagai bekas pensyarah untuk membantu penduduk di kawasan itu jika memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Prof Dr Mahmud Sudin, 58, yang sebelum ini adalah pensyarah di Kolej Universiti Yayasan Sabah dan pernah bertugas di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang perlindungan perhutanan mengakui biarpun baharu pertama kali bertanding, namun ia bukan cabaran besar baginya untuk mendekati rakyat.
Katanya, dia mahu menggunakan pengalamannya dalam bidang penyelidikan bagi mengetahui masalah rakyat sekali gus memahami nadi rakyat agar pembangunan yang disediakan benar-benar menepati keperluan.
“Dalam pertemuan saya dengan pengundi sepanjang tujuh hari berkempen, mereka menyatakan beberapa masalah yang dihadapi seperti masalah elektrik, bekalan air yang sering dicatu, jalan masih banyak tidak berturap, isu mengenai tanah bertindih, tiada geran tanah, saliran dan sebagainya.
“Saya bukan lagi asing di sini sebab saya anak jati Sungai Manila, lahir, membesar, bersekolah di sini. Justeru, penerimaan pengundi terhadap saya cukup memberangsangkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program ramah mesra di Pasar Batu 8, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mahmud berkata, selain dikenali sebagai anak jati Sungai Manila, ramai mengenalinya kerana pernah menjadi ikon negeri ini sewaktu menganggotai kumpulan kugiran ‘jari jari gila’ yang popular sekitar 1980-an.
Katanya, beliau juga antara yang individu bertanggungjawab membawa kepada usaha pembukaan cawangan UMS di Sungai Batang.
Biarpun sudah dikenali, Mahmud sebaliknya tidak mahu memandang rendah terhadap pihak lawan di kerusi itu yang beliau yakin menggunakan pelbagai strategi untuk memenangi kerusi itu.
“Dalam politik, hari demi hari pihak tertentu ada strategi yang mereka sudah biasa dengan pengundi. Saya tidak pandang remeh cabaran itu tapi saya bekerja keras untuk memenangi kerusi ini.
“Tumpuan saya adalah berjumpa pengundi rumah ke rumah, selain membuat ceramah berkelompok untuk memberi penjelasan kepada pengundi mengenai kepentingan memastikan kemenangan WARISAN di negeri ini,” katanya.-http://beritasabah.com

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius