POLIS : KUMPULAN WARGA ASING NEGARA JIRAN MAHU BUAT KACAU PADA PRN

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan aset semaksima mungkin bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, langkah itu dilaksanakan sebagai persediaan awal berikutan pihaknya mendapat maklumat berkenaan adanya kemasukan secara besar-besaran dari negara jiran.

“Kita sedia maklum situasi peningkatan kes positif Covid-19 secara seratus peratus di negeri ini terutama dalam kalangan PATI di pantai timur Sabah.

“Saya juga sudah berhubung dengan Komander ESSCOM untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi menghalang kemasukan PATI ke pantai timur Sabah dan sempadan Sabah di Kalimantan.

“Aset-aset di perairan kita juga akan digerakkan semaksima mungkin bagi menjalankan rondaan di sempadan selain menggabungkan kerjasama Op Benteng bersama agensi lain termasuk ATM serta Imigresen,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Menurutnya, kerjasama itu juga bagi meningkatkan kawalan keselamatan terutama pada musim pilihan raya negeri (PRN) yang bakal tiba.

“Kita mendapat maklumat akan berlakunya kemasukan secara besar-besaran ke negeri ini pada musim PRN dari negara jiran bagi tujuan membuat kekacauan.

“Pasukan keselamatan akan berusaha menghalang kemasukan ini bagi memastikan kelancaran PRN selain memastikan ketenteraman Sabah tetap terpelihara,” katanya.

Setakat ini katanya, polis dan ATM giat menjalankan kawalan di 96 pos sempadan laut dan darat di pantai timur serta Kalimantan.

“Kita akan menjalankan rondaan jarak dekat dan jauh bagi mengesan lorong tikus serta lorong gajah (laluan haram) di sepanjang sempadan negara,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *