Oleh Wartawan BS
5 Februari 2020
PENAMPANG: Seorang penggangur diberkas selepas dipercayai terbabit kes pecah rumah di Beverly Hills, di sini, baru-baru ini.
Kejadian itu turut mengakibatkan pengadu kerugian lebih RM173,000 termasuk sebuah kenderaan jenis Honda HRV.
Suspek berusia 23 tahun itu dikatakan memecah masuk rumah terbabit ketika pengadu dipercayai pulang ke kampung sempena Tahun Baharu Cina lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim berkata, suspek turut difahamkan tinggal di kawasan itu.
“Kes pecah rumah ini berlaku ketika perayaan Tahun Baharu Cina dan pemiliknya meninggalkan rumah itu selama empat hari. Pada masa itu, suspek mengambil kesempatan memecah rumah mangsa.
“Suspek bersama tiga lagi rakan sejenayahnya masuk dan mengambil barang-barang di dalam rumah mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Mohd Haris berkata, modus operandi suspek dikenal pasti memotong kunci mangga dengan menggunakan pemotong besi.
Katanya, antara barangan yang dilarikan suspek adalah jam tangan, komputer riba, mata wang Amerika Syarikat bernilai RM3,000 dan kenderaan jenis Honda HRV.

“Hasil soal siasat awal juga mendapati suspek mempunyai tiga lagi rakan sejenayah yang lain dan polis sedang menggiatkan usaha untuk memburu individu disyaki terbabit.
“Dengan tertangkapnya suspek itu, polis rampas semula semua barangan yang dicuri termasuklah kenderaan Honda HRV,” katanya.
Tambah Haris lagi, suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu samun berkumpulan menggunakan senjata pada 2018.
“Suspek yang ditahan kini direman mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK