KOTA KINABALU, 28 April – Pengimbasan kod “QR MySejahtera” tidak lagi diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam bermula 1 Mei ini.
Menurut Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin, pihak pengurusan premis hanya menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang akan memasuki premis.
Bagaimanapun katanya, orang ramai masih perlu mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.
“Individu dengan status “High Risk” pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberi arahan HSO, tidak dibenarkan masuk ke premis,” katanya dalam satu sidang media.
Khairy berkata, penambahbaikan ciri-ciri aplikasi tersebut sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik.
“Sebagai permulaan, fungsi sedia ada, iaitu Hotspot Tracker yang dahulunya digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes COVID-19, kini akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker untuk melihat kawasan titik panas penyakit-penyakit lain.
“Antaranya, rabies (penyakit anjing gila), demam campak (measles), penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) dan denggi. Kawasan ini akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit.
“Oleh itu, saya menyeru agar rakyat Malaysia mengambil peluang menggunakan fungsi yang ditambah baik ini terutamanya apabila hendak balik ke kampung, berhari raya ke rumah saudara mara atau pergi bercuti,” ujarnya
Menurutnya, perkara tersebut merupakan langkah proaktif bagi mengelak daripada mengunjungi kawasan berisiko tinggi terutamanya jika bersama-sama mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi.
Selain itu, acara bersalaman turut dibenarkan tetapi orang awam harus sentiasa mencuci atau membersihkan tangan dan jangan sentuh muka selepas bersalaman.
Kesemua ketetapan protokol baharu yang dinyatakan itu mula berkuat kuasa Ahad (1 Mei) ini dan turut terpakai ke atas mereka yang sedang menjalani pengasingan.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ