Pengunjung sama pemilik kedai kena kompaun dalam satu operasai sana Damai semalam

Sebanyak 51 kompaun dikeluarkan dalam serbuan Ops Bersepadu membabitkan pelbagai agensi pihak berkuasa yang dijalankan di Damai, malam tadi.

Antara yang dikenakan kompaun adalah pengunjung pusat hiburan selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan.

Operasi membabitkan pelbagai jabatan dalaman DBKK itu turut dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Robert Lipon berkata, dalam operasi berkenaan, DBKK mengeluarkan enam kompaun terhadap pemilik premis selepas didapati menjalankan perniagaan hiburan tanpa lesen sah.

Selain itu katanya, pemilik premis turut dikenakan kompaun selepas didapati meletakkan peralatan di kaki lima tanpa permit dan membina struktur bangunan tanpa kelulusan.

“Pasukan Penguatkuasa DBKK turut menyita peralatan hiburan, meja dan kerusi di dalam premis yang diserbu.

“Dalam operasi ini, seramai 37 pelanggan yang didapati gagal melaksanakan penjarakkan fizikal dikenakan kompaun yang dikeluarkan oleh PDRM,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Robert berkata, pemilik premis pula dikompaun sebanyak RM50,000 mengikut Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.

Katanya, KKM yang menyertai operasi turut itu mengeluarkan tujuh notis kompaun manakala JKDM pula berjaya menyita minuman keras yang dipercayai dijual tanpa lesen.

“Operasi yang bermula jam 10 malam sehingga 1.30 pagi itu dilaksanakan daripada hasil maklumat yang diterima serta aduan orang awam.

“Ia akan dilaksanakan secara berterusan bagi memantau operasi perniagaan dan hiburan yang beroperasi tanpa lesen selain memastikan SOP COVID-19 terus dipatuhi sepenuhnya oleh pemilik dan juga pengunjung,” katanya.

Robert berkata, pemilik premis dinasihatkan untuk mematuhi peraturan di dalam Undang-Undang Kecil DBKK.

Katanya, pengujung juga dinasihatkan supaya mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mencegah penularan wabak COVID-19. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *