Pengurus pemasaran didakwa menipu babitkan wang RM6.2 juta

TAWAU: Seorang pengurus pemasaran mengaku tidak bersalah atas 26 pertuduhan menipu membabitkan wang berjumlah RM6.2 juta sejak tahun lalu.

Tertuduh, Mok Chuang Leon, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menipu kerani di syarikatnya bekerja dan memperdayakannya untuk menyerahkan wang keseluruhan berjumlah RM6.2 juta.

Tertuduh didakwa mengemukakan penyata jualan buah kelapa sawit yang tidak benar oleh dua syarikat bagi tempoh Februari 2023 hingga Febuari 2024 di sebuah premis di Perdana Square Commercial Centre, Batu 3.5 Jalan Apas, di sini.

Chuang Leon berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Komisioner Jeffery Kadisun, manakala tertuduh diwakili peguam Chen Wen Jye.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan, selain diperintah melapor diri sebulan sekali kepada pegawai penyiasat polis.

Sebutan semula bagi pengurusan kes ditetapkan pada 8 dan 10 Oktober depan. – Info X