SANDAKAN: Seramai 346 daripada 502 peniaga pasar di Pasar Umum Sandakan yang menjalani ujian saringan Covid-19 adalah negatif, manakala 155 masih menunggu keputusan.
Daripada jumlah itu juga, satu kes positif dikesan seperti sebelum ini diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr Johari Awang Besar, berkata saringan yang dilaksanakan sejak 22 Jun lalu sehingga semalam itu dibuat untuk tujuan pemantauan kerana terdapat banyak pergerakan di kawasan pasar, selain dinilai sebagai lokasi berisiko untuk jangkitan Covid-19.
Katanya, selepas satu kes positif dikesan dari pasar itu, pihaknya giat melaksanakan langkah kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kontak, pengesanan kes melalui penilaian risiko dan saringan ke atas mereka yang menjalankan urus niaga di pasar itu.

“Bermula hari ini juga, pasar ditutup sementara bagi tujuan disinfeksi oleh pihak Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).
“Ia akan dibuka semula seperti biasa esok iaitu seawal jam 10 malam dan kita akan memberi taklimat berkaitan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang wajib dipatuhi oleh semua peniaga sebelum pasar dibuka semula,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Johari turut mengingatkan peniaga agar terus mematuhi SOP ditetapkan kerana jika gagal berbuat demikian, mereka boleh diarahkan menutup gerai atau dikenakan kompaun.
Beliau juga menasihatkan penduduk agar tidak bimbang jika terus mengamalkan nasihat disarankan termasuk kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman, mengamalkan penjarakkan sosial, mengelak bersentuhan, memakai pelitup muka dan amalan etika batuk atau bersin.
“Selain itu, elakkan 3S (tempat sesak, sempit dan sembang rapat),” katanya.-http://beritasabah.com
More Stories
FPL UMS kongsi ilmu ternakan lebah kelulut dan khasiat madu kepada PPK Sandakan
UMS terima kunjungan penanda aras EKSA dari PHKK, UMPSA
MSN 2023 Peringkat Negeri Sabah diadakan pada 24 – 26 Ogos 2023 di UMS