PENJAJA DI KAWASAN INDUSTRI RINGAN SEDCO AKAN DIPINDAH SEMENTARA

Vivian Wong (tengah) bersama pegawai MPS ketika melakukan tinjauan di pasar sementara di Kawasan Industri Ringan SEDCO hari ini

SANDAKAN : Penjaja di jalan pasar sementara yang berada di kawasan Industri Ringan SEDCO, Batu 3, disini akan berpindah ke Pasar Sementara Muhibbah berdekatan Terminal Bas Bersepadu.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong , berkata, dengan pemindahan sementara itu, ia juga diharap akan memberi sedikit kelegaan kepada masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh penjaja di jalan pasar sementara itu dan juga kepada perniagaan di kawasan SEDCO berkenaan.

“Pemindahan pasar sementara itu juga akan memudahkan masalah trafik dan kebersihan di kawasan SEDCO, ” ujarnya.

“Kita difahamkan, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) telah mengadakan pembidaan gerai itu pada 25 September ini untuk memutuskan tempat penjaja pasar berkenaan,” tambahnya.

Ini adalah untuk membolehkan penjaja di jalan pasar sementara di Batu 3 kawasan SEDCO itu dapat berpindah ke kawasan ruang terbuka di Pasar Sementara Muhibbah seperti yang dijadualkan.

Pihak berkuasa itu juga turut telah menyediakan khemah di ruang terbuka Pasar Sementara Muhibbah bagi kegunaan penjaja di jalan pasar sementara itu.

Vivian berkata demikian dalam satu kenyataan disini pada Rabu.

Beliau juga berharap selepas penjaja pasar sementara Batu 3 itu mendapat kawasan baru untuk meneruskan perniagaan,  mereka juga akan menjaga kebersihan kawasan itu.

“Saya menyeru kepada semua penjaja disini agar terus memberikan kerjasama kepada MPS dan pihak berkuasa berkaitan agar kita sama-sama dapat sentiasa menjaga dan mengekalkan kebersihan di kawasan pasar ini,” katanya. 

Pada masa yang sama, pihaknya juga berharap pemandu yang berkunjung ke pasar sementara itu agar dapat mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak meletak kenderaan dikawasan yang tidak sesuai sekaligus mengelak kejadian kemalangan jalan raya atau menghalang lalu lintas.