PENJUAL IKAN DISYAKI CABUL WANITA DIBERKAS

Oleh Wartawan BS

LAHAD DATU: Seorang penjual ikan ditahan polis hari ini selepas disyaki mencabul wanita dalam kejadian di Pasar Ikan, Jalan Pantai, di sini, Khamis lalu.

Suspek berusia 46 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, jam 9.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek ditahan di Pasar Ikan berkenaan selepaa mangsa membuat laporan polis.

Katanya, dalam kejadian jam 5.45 Khamis lalu, suspek dipercayai meraba kemaluan mangsa berusia 39 tahun dari arah belakang semasa membeli ikan di pasar berkenaan.

“Mangsa kemudian terkejut namun tidak menjerit dan sempat menangkap dan memulas ibu jari suspek sebelum melarikan diri.

“Suspek berjaya ditahan susulan mangsa mengecam tatu di lengan kanan suspek yang memakai baju lengan pendek ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau lagi, kes disiasat dibawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.