Penoreh ditemui selamat selepas 8 jam sesat di hutan

PAPAR: Seorang lelaki ditemukan selamat selepas lapan jam dilaporkan sesat ketika keluar menoreh getah di Kampung Tanaki, di sini, semalam.

Mangsa Andy Chia, 34, ditemui oleh ahli keluarganya di Hutan Lipur Kawang, pada jam 1.34 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.56 petang semalam.

Katanya, operasi pencarian dilakukan di sekitar mangsa dilaporkan tersesat dengan kekuatan seramai 11 anggota bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.

“Kira-kira jam 10 malam tadi, telefon bimbit mangsa dapat dihubungi tetapi sukar mengesan kedudukannya disebabkan cuaca gelap dan laluan berlicin.

“Atas sebab faktor keselamatan pasukan SAR, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 11 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, komander operasi lapor mendapat maklumat dari polis mangsa telah ditemui oleh ahli keluarganya pada jam 1.34 pagi tadi.

“Mangsa ditemui pada jarak empat kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan sesat di Hutan Lipur Kawang dan dalam keadaan selamat.

“Mangsa telah kembali ke pangkuan keluarga di Kampung Kawang. Operasi SAR kemudian ditamatkan pada jam 6.57 pagi,” katanya.

Terdahulu, mangsa Andy dikatakan keluar dari rumah kira-kira 6 pagi semalam untuk menoreh getah di kawasan kampung berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa tidak balik ke rumah dan abangnya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk bantu mencari mangsa. – Info X