Oleh Ahmad Tamrin
TAWAU: Seorang lelaki yang menumpang dalam sebuah Perodua Kancil maut dalam kemalangan jalanraya membabitkan kereta tersebut dengan sebuah motosikal di simpang ke sebuah pasaraya mini di Merotai tengahari tadi.
Ketua Polis Daerah ACP Peter Umbuas berkata mangsa yang identitinya belum diketahui, telah menumpang dalam kereta yang dipandu oleh Muhammad Larassa, 63.
“Mangsa telah meminta izin pemandu untuk menumpang dalam keretanya dari Brumas ke Merotai. Kedua-dua mereka tidak mengenali satu sama lain,” kata Peter.
Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu memasuki lorong sebelah kanan untuk membelok ke simpang secara tiba-tiba menyebabkan motosikal yang datang dari arah hadapan tidak dapat mengelak dan melanggar bahagian penumpang hadapan, tambah Peter.
Akibat kemalangan, penumpang kereta maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal yang dikenalpasti sebagai Abdul Razali Saaibu, 21 tahun, seorang pelajar IKBN Kinarat cedera parah, katanya lagi.

“Mayat penumpang tersebut dihantar oleh polis ke Hospital Tawau untuk dibedah siasat,” kata Peter.
Penunggang motosikal masih dirawat di Wad Kecemasan Hospital Tawau dalam keadaan koma, kata Peter.
“Pemandu Perodua Kancil yang tidak mengalami kecederaan, ditahan polis untuk siasatan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987,” kata Peter.
Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat Tawau telah respon ke tempat kejadian menggunakan 1 buah jentera FRT, dan 1 buah jentera EMRS diketuai oleh PBK II Zougrana Konin bersama 6 orang anggota.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ