TIGA WARGA INDONESIA ‘ORANG HANYUT’ PULANG KE NEGARA ASAL

Bot yang dinaiki tiga warga Indonesia ‘Orang Hanyut’ (kiri) memulakan pelayaran pulang ke negara asal mereka hari ini

Oleh Ahmad Tamrin

SEMPORNA : Tiga warga Indonesia ‘Orang Hanyut’ hari ini telah pulang ke negara asal mereka tujuh hari selepas mereka diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna di perairan berhampiran Pulau Sipadan.

Bot mereka telah diiringi oleh sebuah bot ronda PPM Semporna dari Semporna pada pukul 7.00 pagi sehingga perairan Kalumpang, Tawau dimana tugas mengiring mereka diserahkan kepada bot ronda PPM Tawau, kata Komander PPM Sabah ACP Hj Mohamad Pajeri Ali.

“Mereka kemudian meneruskan pelayaran dan sampai di perairan Sg. Panchang, sempadan Malaysia-Indonesia jam 1.00 petang sebelum menuju ke perairan Indonesia dan seterusnya ke Sg. Nyamuk, Indonesia,” kata Mohamad Pajeri.

Bot ‘Orang Hanyut’ warga Indonesia seramai 3 orang dilepaskan belayar ke perairan Indonesia dalam keadaan baik dan selamat, tambah beliau.

Dalam kejadian 10 September lepas, ketiga-tiga warga Indonesia tersebut diselamatkan PPM Semporna setelah bot mereka mengalami kerosakan enjin dan dihanyutkan ombak besar sehingga perairan berhampiran Pulau Sipadan pada jam 7.30 pagi.