PENUNGGANG MAUT LANGGAR KENDERAAN SUV

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang membuat pusingan ‘U’, di Jalan Tuaran Bypass, berhampiran Taman Canggih, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa Daulis @ Yukik Gunting, 66, maut selepas mengalami kecederaan serius di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati kenderaan SUV yang dipandu wanita berusia 52 tahun dikatakan bergerak dari rumahnya menuju ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII).

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di pusingan U berhampiran Taman Canggih, pemandu wanita itu dipercayai membuat pusingan U tanpa menyedari mangsa yang bergerak dari arah bertentangan.

“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC itu merempuh bahagian tepi belakang sebelah kiri kenderaan SUV sehingga menyebabkannya terjatuh lalu terbaring di tengah jalan.

“Mangsa mengalami kecederaan serius dan motosikal yang ditunggangnya juga rosak teruk.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan pada jam 7.38 malam oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, keadaan jalan berturap baik, lampu jalan menyala dan cuaca juga tidak hujan semasa kejadian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.