PENUNGGANG MOTOSIKAL TERBUNUH DALAM KEMALANGAN DI TAWAU

Motosikal yang ditunggang oleh mangsa yang terbakar dalam kemalangan di Tawau semalam

 Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU: Seorang penunggang motosikal terbunuh dalam kemalangan jalanraya di Kampung Jagung, Jalan Merotai-Bombalai dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah ACP Peter Umbuas memberitahu bahawa mangsa yang dikenali sebagai Jeluing Anak Apau, 48, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda pada jam 10.05 malam.

Siasatan polis mendapati mangsa yang bekerja sebagai seorang buruh datang dari arah Kampung Iban dan apabila tiba di lokasi kemalangan cuba memotong sebuah kereta di depan tetapi tidak sempat masuk semula ke lorong asal, kata Peter.

Motosikal yang ditunggang mangsa yang tidak mempunyai lampu hadapan, bertembung dengan pacuan empat roda yang sedang dalam perjalanan dari Kalabakan menuju Taman Ambar, tambah beliau.

Mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian manakala motosikalnya terbakar akibat impak kemalangan tersebut, katanya lagi.

Menurut Peter, kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.