Peralihan jawatan presiden PBS perlu, kata Pairin

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) perlu melaksanakan peralihan kepemimpinan berdasarkan keadaan kesihatan presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika ini.

Pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, situasi dihadapi Maximus menimbulkan masalah kepada dirinya untuk terus memimpin parti dan mendorong kepemimpinan PBS untuk menilai langkah seterusnya.

“Presiden sekarang kelihatan ada beberapa kelemahan yang mana dia tidak dapat bercakap, suaranya tidak dapat keluar dan ia sudah tentu menjadi satu masalah.

“Kesihatan presiden mendorong parti untuk membuat perhitungan yang perlu diambil seterusnya.

“Walaupun bukan saya yang membuat keputusan mengenainya, sebagai bekas presiden, kita mahu satu peralihan yang baik dan boleh diterima kerana ia akan memberi kesan kepada hala tuju parti,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pairin berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Maximus untuk bercuti sebagai presiden dan menyerahkan kepada timbalannya, Datuk Dr Joachim Gunsalam sebagai pemangku berkuat kuasa 1 Jun depan seperti diumum melalui satu kenyataan media pada Sabtu lalu.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai pula bakal menggalas tugas tambahan memangku jawatan Timbalan Presiden yang dipegang Dr Joachim.

Maximus, 65, yang mengambil alih jawatan presiden daripada Pairin pada 2018 sebelum ini menjelaskan akan melepaskan jawatan itu dalam tempoh tiga tahun selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan PBS Jun 2022.

Sementara itu, Pairin yang mengasaskan PBS pada 1985 sebelum bersara sebagai presiden pada 2018, berkata peralihan dari seorang presiden kepada seorang presiden adalah perkara biasa. –Info X