Peranan wanita besar dalam arena politik – Juliana

Oleh: Cj

SEPANGGAR, 15 Jun – Landskap kepimpinan negara mampu diubah sekiranya wanita membabitkan diri dalam arena politik.

Menurut Ketua Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datin Juliana Jani, wanita perlu mengubah persepsi yang memandang rendah dengan kemampuan diri kerana wanita sebenarnya mempunyai kekuatan yang mampu membawa perubahan sekiranya berganding bahu.

“Kebanyakan kita wanita memandang rendah dengan keupayaan diri serta peranan kita sebagai pergerakan Wanita dalam politik.

“Lebih kurang 50 peratus pengundi adalah wanita. Kita mampu membawa kepada perubahan kerana kekuatan kita ialah mudah mesra, sabar, rajin, pintar serta bijak untuk memujuk,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan mesyuarat Agung Tritahunan wanita bahagian sepanggar, di Dewan Kg. Bantayan, Inanam, baru-baru ini.

Juliana turut menyuarakan harapan agar wanita dapat diberikan perhatian lebih dari sebelumnya.

“Kita mahu wanita sebahagian daripada pembuat keputusan. Berilah peluang kepada wanita yang berpotensi dicalonkan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kita juga tidak lupa untuk mempromosikan bahawa UPKO adalah berbilang kaum. Kita masih kekurangan ahli dari kaum lain jadi kita jemput mereka yang berminat untuk menyertai UPKO,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa UPKO masih memerlukan wanita muda serta berkemampuan di peringkat Exco Pergerakan Wanita Pusat.

“Kita mahu menambah keahlian wanita muda khususnya golongan Undi18 kerana mereka boleh dipersiapkan untuk menjadi pemimpin wanita masa depan,” jelasnya.