Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah diteruskan, himpunan balas hanya provokasi – sekretariat

KOTA KINABALU: Sekretariat Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah menyifatkan perhimpunan Himpunan Bangkit Sabahan Pertahankan Hak Sabah, Kami Bersama Hajiji yang dijadual diadakan pada masa dan tempat yang sama, 31 Disember ini sebagai satu provokasi.

Menerusi satu kenyataan, di sini, sekretariat itu mendakwa himpunan anjuran Gerakan Bangkit Sabahan di perkarangan Menara Kinabalu, iaitu lokasi sama Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah adalah satu provokasi untuk mengalih perhatian rakyat daripada matlamat utama perjuangan membanteras rasuah.

“Identiti penganjur perhimpunan balas tersebut juga tidak diketahui, hebahan awal poster menggunakan akaun palsu dan tiada notis diberikan kepada pihak polis.

“Perhimpunan balas ‘Kami Bersama Hajiji’ lebih menjurus kepada mengagungkan individu tertentu berbanding memberi tumpuan kepada maruah negeri Sabah yang tercalar ekoran krisis rasuah.

“Tambahan pula, ketiadaan tuntutan dan matlamat yang jelas dalam perhimpunan balas ‘Kami Bersama Hajiji’ lebih mencetus penolakan awam terhadap kepimpinannya.

“Menurut Seksyen 18 Akta Perhimpunan Aman, mana-mana perhimpunan balas harus ditukar lokasi, masa dan tempat oleh Pegawai yang Menjaga Daerah Polis,” kata kenyataan sekretariat berkenaan.

Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah dianjurkan kumpulan pelajar yang menggelar diri mereka sebagai Suara Mahasiswa Universiti Sabah (UMS) yang antara lain menuntut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meletak jawatan atas dakwaan rasuah dalam pentadbirannya.

Kumpulan itu turut membantah pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu atas alasan pernah terbabit dengan kes rasuah.

Sekretariat terbabit menegaskan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah akan diteruskan dan mengajak masyarakat untuk turut serta dalam perhimpunan aman itu nanti.

“Perhimpunan ini merupakan saluran terbaik rakyat untuk bersuara, menyatakan kemarahan dan ekspresi, menuntut keadilan, ketelusan dalam tadbir urus peringkat negeri dan nasional.

“Terdapat pasukan sukarelawan keselamatan dan kesihatan yang akan bersiap siaga sepanjang perhimpunan berlangsung.

“Orang ramai tidak perlu berasa gusar untuk menyertai perhimpunan ini kerana anggota keselamatan turut berada di lokasi perhimpunan untuk bertugas,” katanya.

Sekretariat itu juga menyeru agar semua pihak menyatakan kebencian besar terhadap amalan rasuah yang telah mengaut kekayaan hasil bumi dan mencalar maruah, budaya dan nama baik Negeri Sabah.

“Perpaduan dan ketegasan rakyat adalah kunci dalam usaha mencapai tadbir urus yang lebih baik dan telus,” katanya. – Info X