POLIS SIASAT GAMBAR BUDAK PALAUH DIGARI

LAHAD DATU: Tindakan akan diambil terhadap pihak yang memuat naik gambar kanak-kanak lelaki Palauh sedang digari selepas dia ditahan apabila gambarnya memegang pistol mainan sambil meminta sedekah di lampu isyarat Taman Aman Jaya dan Bandar Sri Perdana, di sini, tular di media sosial.

Selain itu, polis juga sedang menyiasat individu yang menggari kanak-kanak terbabit serta tularkan gambar terbabit di media sosial.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata media yang memuat naik gambar berkenaan di portal, akhbar dan televisyen juga akan diambil tindakan.

“Adalah menjadi satu kesalahan untuk disiarkan gambar kanak-kanak bawah umur dan dalam keadaan digari.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pegawai atau anggota yang terbabit dalam menggari kanak-kanak itu dan tularkan gambar itu di media sosial.

“Kita bukan sahaja siasat siapa yang tularkan tetapi kita akan siasat siapa yang menggari kanak-kanak itu,” katanya, hari ini.

Terdahulu seorang kanak-kanak lelaki Palauh memegang pistol sambil meminta sedekah di lampu isyarat Taman Aman Jaya dan Bandar Sri Perdana di sini, menggemparkan orang ramai termasuk pengguna jalan raya.

Gambar kanak-kanak dalam lingkungan enam tahun yang sedang memegang pistol terbabit tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak pagi tadi.

Susulan tangkapan itu, 10 kanak-kanak dan lima wanita Palauh berusia 24 hingga 31 tahun turut ditahan.