PERKONGSIAN PERAYAAN BOLEH MENGUKUHKAN LAGI PERPADUAN

Zakaria menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima semasa Majlis Penyampaian Sumbangan dan Sambutan Krismas Zon Jaya Bakti kelmarin

SANDAKAN: Rakyat perlu mengambil peluang melalui perkongsian setiap perayaan untuk mengukuhkan lagi perpaduan dengan mengamalkan nilai-nilai murni, hormat menghormati, bertolak ansur dan sentiasa peka antara satu sama.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Hj Mohd Edris berkata, ia penting bagi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang merupakan asas kestabilan negara.

Menurutnya, perpaduan rakyat membolehkan kerajaan terus melaksanakan pelbagai perancangan, dasar serta program pembangunan bagi memastikan Sabah terus membangun dengan pesat.

“Perpaduan begitu erat sekali tidak kira bangsa, agama dan apa jua kedudukan politik sekalipun kita boleh bersama-sama maka ini adalah sebagai satu nikmat yang ada di Negeri Sabah yang harus kita kekalkan bukan sahaja hari ini tetapi sampai ke generasi akan datang,” kata Zakaria.

Beliau ditemui media semasa Majlis Penyampaian Sumbangan dan Sambutan Krismas Zon Jaya Bakti, di Mini Dewan Gereja St Emmanuel Jaya Bakti, dekat sini kelmarin.

Zakaria turut menzahirkan rasa gembira melihat rakyat pelbagai kaum di kawasan Libaran yang masih meneruskan tradisi perkongsian perayaan yang diamalkan selama ini.

Dalam majlis itu, seramai 40 penduduk yang kurang berkemampuan menerima sumbangan berupa beras dan wang tunai dari Zakaria.