PROGRAM SAMBUTAN PERAYAAN KRISMAS ANJURAN UPKO LIBARAN DAN NGO

Dr Peter (tengah) bersama pemimpin-pemimpin gereja dan Big Heart Libaran memotong kek Krismas

SANDAKAN:  Kemeriahan sambutan  Hari Krismas tahun ini anjuran Biro Kebajikan dan Kebudayaan UPKO Libaran dan “Big Heart Libaran” sebuah NGO, telah berlangsung di Dewan Taman Cahaya, Rancangan Sungai Manila Batu 12  pada Dis 21 yang lalu.

Perayaan tersebut yang turut dihadiri oleh para wakil dan pemimpin daripada Gabungan Gereja-Gereja Libaran serta penghuni Pertubuhan Bagi Orang Buta Sabah Cawangan Sandakan memberikan satu kelainan dan keunikan dalam Majlis tersebut.

Beberapa aktiviti telah diadakan sempena program yang dirasmikan oleh Ketua Bahagian UPKO Libaran, Dr Peter Jr Naintin.

Menurut Peter, seramai 25 orang pelatih yang cacat penglihatan dari Pusat Latihan Kemahiran Pelatih Taman Cahaya telah menerima sumbangan wang saku menerusi program “Gift of Love” pada majlis itu.

Disamping itu, beliau juga sempat menyampaikan bantuan berupa sumbangan buku latihan untuk 33 orang pelajar sekolah dari kampung di Sungai Manila Peringkat 2 yang mana diwakili oleh 8 orang pelajar yang sempat hadir dan selebihnya akan diagihkan sebelum sesi persekolahan bermula nanti.

Ini merupakan satu inisiatif untuk membantu dan memberikan sedikit motivasi kepada pelajar untuk senantiasa berusaha dalam pembelajaran di sekolah, tambah beliau. 

Sementara itu, sumbangan wang tunai telah diberikan kepada sepuluh gereja yang berada di kawasan Libaran sebagai persediaan dan perbelanjaan gereja dalam menyambut Perayaan Krismas dan tahun baharu yang menjelang tiba.

Sedikit bantuan turut disumbangkan kepada pihak Taman Cahaya Sg Manila yang diwakili oleh penguasanya  Ibrahim Hj. Abdul Hamid.

“Kami berterima kasih kepada keprihatinan Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau atas keprihatinan Datuk Seri bagi menjayakan majlis Perayaan Krismas 2019 di Sungai Manila, Sandakan pada kali ini,” katanya lagi.

 Peter berharap agar majlis Perayaan Krismas tersebut dapat memupuk semangat kekeluargaan di antara penduduk kampung “dan juga kesatuan dikalangan pemimpin-pemimpin setempat bagi memperkukuhkan dan meneruskan kesinambungan demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan kampung-kampung di Sg Manila,” kata Peter.

Majlis pemotongan kek Krismas 2019 diadakan sebagai gimik perasmian yang turut disertai oleh para wakil pemimpin dari Gabungan Gereja-Gereja Libaran dan Big Heart Libaran. 

Acara diserikan lagi dengan persembahan koir lagu-lagu krismas daripada gabungan  Gereja Seventh-Day Adventist dan Gereja  Katolik. Sebelum bersurai, Peter sempat menasihati golongan muda-mudi supaya menitik-beratkan kepentingan untuk saling hormat-menghormati diantara satu dengan yang lain dan bersama kerajaan dalam pembangunan ekonomi dan sosial.