KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud mengakui pernah memohon Kad Pintar Pesawah (KPP) yang dikeluarkan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) untuk menjadi seorang petani.
Bagaimanapun, katanya ia bukan perkara baharu, sebaliknya permohonan kad itu dibuat pada 2020, ketika beliau belum menjadi Ahli Parlimen Sepanggar dan timbalan menteri.
Beliau menjelaskan, niatnya ketika itu ialah untuk mengusahakan tanah sawah pusaka keluarganya di Kota Belud.
Sehingga kini, katanya tanah sawah seluas kira-kira 4.8 hektar itu masih tidak diusahakan berikutan kekangan tugas yang dihadapinya.
“Status terkini tanah-tanah pusaka seluas lebih kurang 12 ekar (4.8 hektar) masih tidak dikerjakan kerana dengan kekangan tugas tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya.
“Permohonan Kad Pintar ini dibuat pada tahun 2020 dan tidak dituntut sehingga sekarang,” katanya mengulas mengenai namanya yang tersenarai sebagai pemohon KPP yang belum mengambil kad itu di BERNAS Kota Belud seperti tersebar di media sosial, baru-baru ini.
Penyebaran senarai nama itu mengundang tanggapan seolah-olah permohonan berkenaan dibuat ketika beliau sudah menjadi timbalan menteri.
Mustapha yang juga Ketua PKR Sabah turut menjelaskan perkara sebenar yang berlaku melalui perkongsian di Facebook beliau beberapa hari lalu.
Dalam perkongsian itu, Mustapha berkata beliau bercadang menjadi petani selepas tiga kali kalah di Kota Belud dalam pilihan raya yang disertainya sebelum ini.
Jelasnya, beliau mengambil semua geran tanah keluarga dan mengurusnya sendiri bagi pihak keluarga dengan hasrat mahu kembali pada zaman lalu membantu arwah ibu bapanya bersawah padi.
Bagaimanapun, katanya niat itu tertangguh apabila beliau dicalonkan oleh PKR untuk bertanding dan menang di Parlinen Sepanggar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 2022. – Info X
More Stories
Miliki petrol tanpa lesen,dua lelaki didenda RM10,000 dan RM6,000 seorang lagi dipenjara
Wisma Putra ambil maklum kehadiran kapal tentera laut asing di EEZ Malaysia
Tiga individu diserang memerang ketika berjoging