KUALA LUMPUR: Persidangan Parlimen Dewan Rakyat hari ini turut menyaksikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilemparkan pertanyaan pedas daripada Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Ia berikutan rasa kekecewaan beliau terhadap KKM yang masih belum memperincikan peruntukan untuk meningkatkan aset kesihatan berhubung usaha pengawalan Covid-19 di Sabah.
“Ujian PCR pada ketika ini di Sabah masih perlu dihantar ke Semenanjung Malaysia dengan menggunakan pesawat TUDM. Saya ingin bertanya kepada menteri, pernahkah kementerian membuat anggaran kos penghantaran sampel tersebut.
“Sedarkah menteri bahawa kos penghantaran ini juga melibatkan duit rakyat tidak efisien dan mengambil masa yang lebih lama?

“Apakah tidak berhemah bagi Kerajaan untuk mempertingkatkan lagi kapasiti ujikaji di Sabah itu dengan menaiktaraf makmal-makmal yang ada di Sabah?
“Ini tentunya boleh mengurangkan perbelanjaan, mempercepatkan proses untuk mendapatkan keputusan ujian, dan meningkatkan keberkesanan intervensi kesihatan awam yang berlandaskan keputusan ujian yang tepat pada masanya,” kata Madius.
Ujar beliau, maka itulah sebabnya usul agar cadangan untuk menghidupkan balik Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dimansuhkan, dan peruntukan sebanyak RM85 juta dimasukkan ke KKM khususnya untuk menaiktaraf makmal-makmal kesihatan di Sabah.
“Seterusnya bagi butiran Pelancongan Kesihatan, saya minta Menteri Kesihatan menjelaskan apa tujuan RM15 juta yang telah diperuntukan untuk tujuan ini?
“Semasa tempoh pandemik ini, lebih wajar untuk kita memberi peruntukan untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia, bukan untuk membuka hospital swasta untuk pesakit dari luar negara Malaysia.
“Kos untuk Malaysian Healthcare Tourism Council (MHTC) boleh dibiayai oleh hospital-hospital swasta di Malaysia, yang jujurnya mempunyai insentif dan dorongan untuk membiayai MHTC.
“Peruntukan RM15 juta ini boleh disalurkan ke makmal di negeri Sabah khususnya dan untuk Kementerian Kesihatan secara amnya,” tambah Madius.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ