Ewon melancarkan Gabungan Kelab-Kelab Belia Daerah Kota Belud.
KOTA BELUD: 2 Mei – Persatuan-persatuan belia di negeri ini digalakkan bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat korporat bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, usaha itu adalah langkah inovatif melengkapkan sokongan pihak kerajaan kepada persatuan-persatuan belia.
“Kerajaan sememangnya sentiasa menyokong aspirasi belia dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan melalui pemberian geran aktiviti dan program sokongan berkaitan. Namun, kita harus akui ianya sentiasa tidak akan mencukupi kerana peruntukan tersedia yang terhad.
“Oleh itu, saya menggesa agar pimpinan persatuan-persatuan belianlebih kreatif dan tidak segan mendekati NGO dan juga kedutaan-kedutaan yang menyediakan program kemasyarakatan di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Saya pasti mereka juga berminat bekerjasama melaksanakan pelbagai program CSR yang berkualiti dan berimpak tinggi kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Majlis Gabungan Kelab-Kelab Belia Daerah Kota Belud di Pusat Arena Belia, Kota Belud pada Khamis (hari ini).
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kadamaian berkata beliau sendiri adalah pemimpin persatuan belia sebelum ini dan telah bekerjasama dengan beberapa GLC dan syarikat korporat dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di kampung melalui gotong-royong.
“Malah sehingga kini, walaupun sebagai Menteri dan Adun, saya masih bekerjasama dengan NGO, GLC dan syarikat korporat dengan menjemput mereka melaksanakan program CSR di DUN Kadamaian.
“Saya tahu peruntukan saya sangat terhad, justeru saya perlu mendapatkan sokongan mereka agar lebih banyak kebaikan dan manfaat dapat dinikmati di Kadamaian dan kawasan luar bandar lain. Saya gembira kerana sudah ada beberapa program CSR telah dilaksanakan di Kadamaian setakat ini,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa beberapa NGO di Sabah telah bekerjasama dengan pelbagai syarikat korporat dan kedutaan negara asing bagi membantu komuniti luar bandar Sabah seperti TONIBUNG dan PACOS dalam melaksanakan beberapa program CSR seperti makro-hidro elektrik dan perpustakaan desa yang mempunyai impak besar kepada komuniti luar bandar Sabah.
“Justeru, selain geran daripada Kerajaan atau peruntukan daripada Wakil-Wakil Rakyat, pelbagai sumber juga boleh diterokai oleh persatuan-persatuan belia untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan.
“Bagi saya, inilah ukuran kepimpinan belia iaitu memperkasakan persatuan tanpa membataskan sumber kewangan kepada satu sumber semata-mata,” katanya.
Ewon turut menyeru agar persatuan belia di negeri ini mengadakan kunjungan kepada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang bersesuaian untuk mendapatkan maklumat atau taklimat yang berkaitan dengan aspirasi belia contohnya pembangunan keusahawanan, bimbingan kerjaya dan kursus kemahiran.
“Saya juga menyeru agar para pemimpin dan ahli-ahli persatuan belia di daerah Kota Belud menjadi duta aspirasi, jiwa dan pemikiran Kota Belud kepada keseluruhan komuniti di daerah ini.
“Sudah begitu banyak kejayaan yang dicapai oleh anak-anak muda dari Kota Belud di peringkat nasional dan antarabangsa. Sebagai belia, kita perlu menjadi sebahagian daripada proses arus perdana pembangunan negara serta perlu membuktikan kita bukan hanya boleh memimpin segmen masyarakat yang seusia dengan kita, tetapi boleh bekerjasama dengan pemimpin dewasa dan keseluruhan masyarakat,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Ewon menyampaikan sumbangan one-off peruntukan touchpoints ADUN Kadamaian sebanyak RM20,000 kepada Gabungan Kelab-Kelab Belia Kota Belud yang dipengerusikan oleh Azuwan Norjan.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton, Pegawai Kementerian Belia dan Sukan Bahagian Pantai Barat Utara Mat Rudin Baluan, Pegawai Pendaftar Pertubuhan Belia Sabah Suzierani Muamat, Pegawai Belia dan Sukan Kota Belud Sabdali Yusof dan Setiausaha Politik KPLB Carlye Lajimin.

Ewon disambut mesra oleh para pemimpin belia pada majlis itu.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad