Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) diiringi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew (dua dari kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan KTS, Datuk Henry Lau (kanan) ketika hadir di Majlis Pecah Tanah Projek KK Resort City di Lok Kawi. – Foto Malai Rosmah Tuah
KOTA KINABALU: 2 Mei – Kerajaan Sabah komited untuk menambah pembangunan hartanah di negeri ini bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi terutama menerusi sektor pelancongan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Sabah menerima lebih tiga juta ketibaan pelancong setiap tahun dan itu membuktikan terdapat keperluan untuk menyediakan kemudahan mencukupi bagi menampung jumlah itu.
“Ada kawasan pelancongan yang tidak dapat menampung ketibaan ramai, sehingga kerajaan terpaksa menggunakan penerbangan sewa untuk mereka di sini.
“Jika pelancong datang dalam tempoh yang sama, pasaran tidak dapat menyediakan kemudahan diperlukan pelancong kerana pelancong bukan saja dari China, tetapi juga dari dalam negara dan Eropah,” katanya selepas majlis pecah tanah projek KK City Resort di Lok Kawi, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew dan Pengarah Urusan Sunduvon Corporation Sdn Bhd Datuk Henry Lau.
KK Resort City bakal menjadi pusat pelancongan berskala besar yang menyediakan pusat perniagaan dan perumahan dengan menawarkan pelbagai kemudahan termasuk hotel, pusat beli-belah serta pusat sosial dan aktiviti masyarakat.
Shafie berkata, Sabah terkenal dengan tarikan destinasi pelancongan yang sentiasa mengutamakan alam sekitar terutamanya dalam penjagaan hutan ataupun laut.
Beliau berkata, projek bernilai RM5 bilion berkenaan dijangka siap dalam tempoh 4 tahun dan akan mendapat kelulusan pelan pembangunannya dalam tempoh sebulan.
Katanya, pembangunan pusat pelancongan ini bakal membawa limpahan ekonomi yang ketara kepada negeri dan negara.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung projek pembangunan Tanjung Aru, Shafie berkata, kerajaan negeri akan meneruskan perancangan dan berbincang dengan pihak berkepentingan untuk menyiapkan pusat pelancongan berkenaan.
“Kerajaan negeri juga menggalakkan pemaju untuk meningkatkan rancangan pembangunan mereka kerana ia akan membawa peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan serta peluang perniagaan terutamanya di Kota Kinabalu dan Papar.
“Kita mahukan pelaburan dan tidak boleh bergantung kepada kerajaan negeri atau persekutuan semata-mata. Oleh itu, sektor swasta juga perlu memainkan peranan mereka,” katanya. – BHarian.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ