Persidangan DUN pada Isnin, Selasa jadi tumpuan sebelum bubar

KOTA KINABALU: Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Ke-16, pada Isnin dan Selasa ini, bakal menjadi tumpuan sebagai persidangan terakhir sebelum DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, mengakui keghairahan orang ramai terhadap mesyuarat kedua itu selepas April lalu sebagai persidangan terakhir sebelum pembubaran DUN.

“Mengikut perlembagaan, setahun sekurang-kurangnya mesti ada tiga persidangan. Mungkin yang menjadi keghairahan orang mengenai persidangan kali ini, banyak yang mengandaikan atau merasakan ini adalah sidang yang akhir sebelum pembubaran.

“Kalau dari segi persiapan, tidak ada istimewa. Persiapan semua seperti biasa, soalan-soalan pun seperti biasa. Ia hanya takwim untuk sidang yang kedua setiap tahun.

“Kalau bubar selepas ini, dia jadi sidang yang terakhir untuk penggal ini tetapi kalau belum bubar, kita mana tahu ada lagi sidang ketiga untuk memenuhi kehendak perlembagaan. Kebiasaannya sidang kedua ini adalah perbekalan tambahan,” katanya.

Beliau yang diiringi Setiausaha DUN Sabah, Rafidah Maqbool Rahman ditemui media pada sesi temu bual khas sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Sabah Yang Ke-16 di pejabatnya, pada Khamis.

Kadzim berkata, selain perbekalan tambahan kerajaan negeri, mesyuarat dua hari itu turut membahaskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Cukai Jualan Negeri (Pindaan) 2025 dan RUU Hutan (Penubuhan Hutan Simpan Pindaan) (Pindaan) 2025 serta RUU baharu, Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025.

“Kali ini selain daripada rang undang-undang perbekalan, kita juga ada tiga rang undang-undang yang lain. Satu mengenai perhutanan, iaitu pindaan. Satu lagi, SST juga pindaan dan satu lagi undang-undang baharu, RUU mengenai Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon.

“Ia bukan belanjawan khas, ia hanya perbekalan tambahan. Tambahan yang benda tidak terbajet dalam bajet lepas tapi sudah perlu dibelanjakan dan itu kita perlu luluskan untuk mendapatkan urusan dewan sebagai perbelanjaan tambahan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membayangkan kemungkinan DUN sekarang dibubarkan pada akhir Julai atau awal Ogos, iaitu setelah selesai Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat). – Info X