KOTA KINABALU: Kehadiran orang ramai, khususnya untuk mengikuti persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kini tertakluk kepada peraturan kawasan keselamatan berikutan pewartaaannya sebagai kawasan dan tempat larangan berkuatkuasa pada 2 September 2024.
Berikutan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, berkata, ada had yang perlu dipatuhi orang ramai yang ingin datang untuk mengikuti persidangan DUN.
“Bukannya kita larang, bukannya kita halang orang daripada datang tapi kita tidak mahu DUN ini menjadi macam satu acara di SICC semua orang berpusu-pusu memandangkan Kawasan DUN ini sudahpun diwartakan sebagai tempat dan kawasan keselamatan.
“Jadi, ada had-had yang harus dipatuhi dalam membenarkan orang ramai berada di sekitar Dewan ini. Jadi kalau ada orang cakap susah sekarang masuk mengikuti sidang dewan itu tidak juga betul.
“Ramai juga Ahli Yang Berhormat bila ada orang-orang dari kawasan mahu mengikuti sidang Dewan kita benarkan. Tapi tidaklah sehari penuh atau hari-hari datang. Bila wakil rakyatnya mahu berucap dia mahu datang mengikuti secara langsung kita benarkan,” katanya.
Beliau yang diiringi Setiausaha DUN Sabah, Rafidah Maqbool Rahman ditemui media pada sesi temu bual khas sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kelima DUN Sabah Yang Ke-16 di pejabatnya, pada Khamis.
Kadzim diminta mengulas mengenai persepsi segelintir masyarakat mendakwa berdepan kesukaran untuk datang ke persidangan DUN.
Katanya, ada beberapa peraturan yang perlu dipatuhi pemerhati
selaras dengan perisytiharan DUN Sabah sebagai kawasan larangan dan tempat larangan menerusi warta berkuatkuasa pada 2 September 2024.
Beliau berkata, peraturan masuk ke DUN Sabah dan Parlimen juga tidak mempunyai perbezaan kerana premis yang diwartakan sebagai kawasan dan tempat larangan semestinya mengutamakan langkah-langkah keselamatan.
“SOP, peraturan pada asasnya sama, cuma Parlimen itu besar. Di sana lagi susah masuk semua pintu guna akses yang dikawal ketat. Kalau setakat ruang legar itu boleh orang masuk tapi dalam dewan bukannya semua orang boleh masuk sewenang-wenang.
“Ruang dewan tempat berbahas, berucap, bila terlalu ramai orang di dalam bercerita dan ia hanya akan mengganggu. Ada yang tidak tahu tertib dewan seperti tidak boleh tepuk tangan. Amalan tepuk meja lebih kepada appreciation sebab ini convention dan ia dibezakan dengan acara-acara konsert, acara-acara perasmian, ia di korum sendiri.
“Macam di mahkamah pun tidak boleh tepuk tangan. Kenapa orang tidak bising mahkamah pun susah masuk,” katanya.
DUN Sabah dijadual bersidang dua hari pada Isnin dan Selasa depan yang dijangka sebagai persidangan terakhir sebelum DUN sekarang dibubarkan. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad